Oleh Nazrul Aziz
19 Mei 2023, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Saringan pertama Temasya Pantun Kerabat (TEPAK) Bestari 2023 akan bermula pada malam ini. Pertandingan ini akan mempertemukan pemantun daripada 16  buah pasukan untuk bersaing merebut Piala Sri Gumum TEPAK Bestari 2023.

Mengangkat tema “Gerbang Majika Bestari Lambang Budaya Tradisi”, pesta pantun ini merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Kolej Keempat (Bestari) Universiti Malaya.

Penganjuran TEPAK sudah berlangsung lebih daripada 10 tahun, dan pada kali ini TEPAK Bestari 2023 mendapat kerjasama daripada Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mengekalkan dan mengembangkan seni berpantun sebagai khazanah puisi Melayu tradisional dan warisan bangsa.

Antara pasukan yang akan bertanding ialah peserta daripada Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Putra Malaysia, Institut Pendidikan Guru Kampus Darul Aman dan Universiti Sains Malaysia.

TEPAK Bestari 2023 akan berlangsung selama tiga hari, iaitu bermula pada 19 Mei 2023 dan pertandingan akhir dijangka akan diadakan pada 21 Mei 2023. Pusingan saringan akan diadakan di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Kategori pertandingan TEPAK Bestari 2023.

TEPAK Bestari 2023 mengetengahkan tema seperti ialah “Kita Bersaudara”, “Magika”, “Seniman Negara”, “Jenaka Cerita Rakyat”, “Filem Klasik Melayu”, “Sastera Terulung”, “Hidup Berbilang Bangsa” dan “Kehilangan”.

Selain merebut Piala Sri Gumum, terdapat dua lagi acara yang akan dipertandingkan, iaitu pertandingan mencipta poster (dikenali sebagai “Semerah Saga 3.0”) yang disertai oleh peserta dari Malaysia, Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Laman media rasmi TEPAK Bestari 2023.

Acara kedua ialah pertandingan pantun pengenalan antara kolej kediaman yang dikenali sebagai Sandiwara Pandir. Pengenalan pasukan ini merupakan satu daripada kebiasaan sebelum pertandingan bermula di mana setiap pasukan akan memperkenalkan ahli pasukan melalui sebuah persembahan yang kreatif dan menarik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.