2 April 2023, 11:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Foto: Izzuddin Khalis

Kuala Lumpur – “Sebagai orang muda, jika mereka mula menulis dan menerbitkan sesebuah karya, barulah pengalaman itu akan timbul dan silang pandang antara penulis mapan dengan penulis muda itu penting kerana masing-masing memerlukan sudut pandangan yang berbeza melalui pembacaan dan penulisan,” kata Syed Ahmad Fathi semalam.

“Sua Bicara: Hendak Jadi Penulis Tetapi Tidak Mahu Membaca, Ehhhh Boleh Ke?” merupakan sebuah program sembang santai anjuran Tokosue bersama sokongan Kumandang Zine yang bertempat di Wisma Central, Kula Lumpur.

Menariknya, sembang santai kali ini membicarakan buku baharu yang bertajuk Dua Sayap Ilmu yang berpusat pada kehebatan membaca dan menulis serta bagaimana ingin menjawab berkenaan isu, ada orang mahu menulis, tetapi tidak tahu mahu menulis apa-apa dan ada orang mahu membaca, tetapi tidak tahu mahu membaca apa-apa.

Wan Hamidi, selaku moderator (kiri) dan Syed Ahmad Fathi (kanan) dalam program yang berlangsung pada 1 April 2023, di Tokosue.

Menurut perkongsian daripada Syed Ahmad Fathi, beliau tidak banyak menghasilkan penulisan yang berbentuk monograf, tetapi lebih pada analogikal (secara bertahap).

Penghasilan buku baharu, iaitu Dua Sayap Ilmu ini melalui proses yang sama, dan mengambil masa selama bertahun-tahun untuk menyiapkan.

Walau bagaimanapun, penukangan karya ini berbeza daripada karya sebelumnya kerana mempunyai subjek, iaitu menulis dan membaca.

Apabila ditanya, mengapakah menulis itu penting dan adakah cukup untuk menulis hanya berdasarkan pengalaman semata-mata? Syed Ahmad Fathi menjawab,

Pada awalnya, saya menulis selepas tamat zaman persekolahan dan apabila saya mula memahami dunia. Kadangkala, ada pandangan yang kita rasa mahu kita ketengahkan. Penting atau tidak, itu hal lain. Saya rasakan itu perlu, walaupun kita rasakan penulisan kita tidak signifikan.

Tambahnya lagi,

Menulis berdasarkan pengalaman semata-mata akan kedengaran tidak lengkap. Pengalaman merupakan sebahagian daripada input dalam penulisan. Namun demikian, gabungan antara pembacaan dengan pengalaman akan menjadikan individu itu seorang penulis yang baik.

Suasana sekitar sua bicara yang hangat dengan pelbagai persoalan berkaitan dengan isu membaca dan menulis.

Sua bicara anjuran Tokosue pada kali ini membawakan pelbagai soalan hangat seputar isu menulis dan membaca dalam pelbagai peringkat usia.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.