Oleh Chua Pei Yong
23 Mac 2023, 08:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis novel genre seram yang terkenal di Thailand, iaitu Phakinai Kasirak atau menggunakan nama pena Phakinai meninggal dunia pada hari Sabtu (malam), 18 Mac 2023.

Berita pemergian Phakinai disampaikan oleh editor Sofa Publishing,  Tongta Thungchuwong dengan kebenaran ibu mendiang, iaitu Puan Yupha Kasirak.

Sebab kematian tidak diketahui dengan lanjut kerana pada masa itu, mendiang masih dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan jantung tiga minggu lepas.

Nama Phakinai terkenal selepas novel seramnya yang bertajuk Nang Chada diadaptasi dalam bentuk drama dan jumlah tontonan mencapai antara rating tertinggi di Thailand.

Drama lakonan Davika Hoorne dan Kan Kantathavorn itu telah menaikkan nama mendiang dalam bidang penulisan.

Bahkan, adaptasi novel beliau juga dikenali di rantau Asia apabila pelakon Anyarin Terethananpat (Tubtim) memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di 24th Asian Television Awards menerusi karya mendiang yang bertajuk Buang Sabai (Loop of Vengeance).

Poster kemenangan Anyarin Terethananpat (Tubtim) yang memenangi Anugerah Pelakon Wanita Sampingan Terbaik di 24th Asian Television Awards.

Selain itu, terdapat beberapa karya mendiang yang diterjemah ke dalam bahasa Cina di Taiwan dan bahasa Melayu. Karya yang diterjemah ke dalam bahasa Melayu, antaranya termasuklah Dendam, Penjara dan Misteri Rumah Puaka.

Selain menulis genre seram, mendiang turut menghasilkan karya dalam genre cinta, dan karya tersebut turut diadaptasi ke drama TV.

Sepanjang pelibatan dalam bidang penulisan, beliau telah menghasilkan lebih daripada 70 buah novel.

Karya adaptasinya yang terkini bertajuk Hong Nai Krongka sedang ditayangkan di saluran Ch7HD.

Selepas berita kematian mendiang tersebar, portal berita dalam talian seperti Thairath, berita saluran utama seperti berita Ch7, pelakon, penerbit serta peminat mendiang mula meninggalkan status di laman sosial mendiang. Mereka menyatakan penghargaan dan mengucapkan terima kasih kerana telah menghasilkan karya yang bermutu buat pembaca.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.