19 Mac 2023, 10:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Kelab Teater Rajuk tampil dengan sebuah idea pementasan deklamasi dan lakon (dekon) yang menginsafkan, arahan AK Hidayat berjudul “Hijrah Kami Ya Allah”.

Dekon tersebut telah dipersembahkan semasa “Malam Gema Puisi Ramadan” anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP) dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Pahang dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Sri Manja Boutique Hotel, Kuantan pada 18 Mac 2023 yang lalu.

Menurut Ketua 1 DPMP, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohd Mansor Abdullah menyatakan bahawa “Malam Gema Puisi Ramadan” merupakan simbolik penghayatan untuk meraikan kehadiran bulan Ramadan dengan mengangkat sastera dan puisi tanah air yang berkonsepkan ketuhanan.

Persembahan dekon dimulakan dengan perarakan deklamator dan pelakon yang mengenakan pakaian serba putih sambil mengusung jenazah masuk ke dalam dewan. Muzik yang bergema pula membuatkan penonton di dalam dewan merasakan suasana yang sangat menginsafkan.

Simbolik penggunaan busana berwarna putih mencetuskan rasa sayu dan ingatan terhadap kematian. Tambahan pula, deklamator dan pelakon memaparkan mimik muka yang sugul dan penuh dengan kesedihan.

Jenazah yang diusung telah diletakkan di hadapan pentas dengan kain yang melitupi seluruh badannya. Sementara itu, pelakon lain pula berada di tepi jenazah dan meratapi kematian itu.

Satu daripada babak pementasan dekon “Hijrah Kami Ya Allah” pada 18 Mac 2023.

Terpancar dengan jelas bahawa penghijrahan melalui kematian merupakan sebuah peristiwa yang amat mendukacitakan.

Persembahan telah dimulakan dengan alunan syair, kemudian diselitkan dengan nyanyian lagu dan diakhiri dengan deklamasi sajak ketuhanan. Setiap bait puisi yang dilontarkan begitu menyentuh perasaan penonton.

Persembahan selama 15 minit tersebut telah berjaya membuatkan penonton terkaku dan terpukau dengan idea kritis yang telah disampaikan oleh deklamator dan pelakon daripada Kelab Teater Rajuk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.