15 Mac 2023, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintangor – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Jabatan Pengajian Melayu dan Bahasa, Institut Pendidikan Guru Kampus Rajang (IPGKR) telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Karya Kreatif dan Penerbitan Karya di IPGKR pada 13 hingga 14 Mac 2023. Sebanyak 69 orang peserta yang hadir terdiri daripada guru pelatih dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perguruan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Program ini menampilkan tiga orang pembimbing, iaitu Munsyi Dewan (Sastera) yang juga merupakan penulis mapan Sarawak, Encik Mohamad Faizal Jamil dan Encik Ja’afar Hamdan dan editor DBPCS, Puan Saidatul Faiqah Samasu.

Encik Mohamad Faizal Jamil bersama-sama peserta. (Foto oleh Norfazrie Isquandy Nurol)

Program ini diadakan adalah bertujuan untuk memupuk minat dan mencungkil bakat penulisan kreatif dalam kalangan guru pelatih dan memberikan pendedahan kepada mereka tentang teknik penulisan serta peluang penerbitan karya. Selain itu, program ini bermatlamat untuk membantu peserta menghasilkan cerpen dan sajak yang baik selaras dengan keperluan program ijazah mereka.

Tambahan pula, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak saban tahun akan menganjurkan Peraduan Penulisan Esei Kritikan dan Karya Kreatif Hari Guru bersempena dengan Perayaan Hari Guru yang turut dibuka penyertaannya kepada guru pelatih di Sarawak.

Seorang daripada peserta bertanyakan soalan semasa sesi bimbingan. (Foto oleh Norfazrie Isquandy Nurol)

Program selama dua hari itu dimulakan dengan sesi pengenalan penulisan kreatif dan cerpen yang dibimbing oleh Encik Mohamad Faizal Jamil. Beliau berkongsi pengalaman dalam dunia penulisan selama lebih daripada dua dekad untuk membakar semangat peserta menghasilkan karya kreatif. Tambah beliau lagi, perkara yang paling penting dalam penulisan ialah falsafah pemikiran yang hendak disampaikan kepada pembaca.

Pada hari kedua pula, Encik Ja’afar Hamdan mengendalikan sesi bimbingan penulisan sajak. Peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan aktiviti apresiasi karya dijalankan. Menurut beliau, sesetengah sajak  sukar difahami disebabkan oleh pemilihan diksi yang digunakan bagi mengungkapkan gagasan penulis. Beliau berharap agar peserta dapat menghasilkan sajak yang berupaya mengetengahkan isu yang relevan dengan keadaan semasa.

Pada sesi terakhir, peserta diberi taklimat tentang peluang penerbitan yang ada di DBP oleh Puan Saidatul Faiqah Samasu. Beliau memperkenalkan ruangan kelolaan DBP seperti “Wadah Bahasa dan Sastera” dalam akhbar Utusan Sarawak, khusus untuk menyiarkan karya penulis muda, dan pelantar penerbitan digital DBP, iaitu JendelaDBP. Di samping itu, peserta digalakkan untuk menyertai sayembara anjuran DBPCS seperti Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan dan Penulisan Sajak bersempena dengan ulang tahun ke-60 Sarawak merdeka dalam Malaysia.

Pengarah IPGKR, YBrs. Dr. Abang Ismail Abang Julhi dalam ucapannya semasa Majlis Penutupan Program Bimbingan Penulisan Kreatif dan Penerbitan Karya menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pihak DBPCS kerana menyambut baik permohonan mereka untuk melaksanakan program  tersebut biarpun dalam jangka masa yang singkat.

Dalam ucapan balasnya, Pengarah DBPCS, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai menyatakan harapan agar persetujuan untuk mengadakan program kolaboratif yang lain bersama-sama IPGKR akan dapat dilaksanakan dengan jayanya demi mengembangkan dan memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan generasi muda.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.