13 Mac 2023, 15:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarikei – Untuk meneruskan usaha mempertemukan karyawan dengan penilai dan pengulas karya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah menganjurkan Minggu Karyawan Muda (MKM) pada 10 hingga 12 Mac 2023. Buat julung kalinya, program tahunan DBPCS ini diadakan di Sarikei, Sarawak. Sebanyak 30 orang peserta yang hadir terdiri daripada ahli Kelab Penggiat Sastera Sarikei (KEPESSA), guru pelatih Institut Pendidikan Guru dan pelajar sekolah menengah.

MKM tahun ini dengan tema “Merekayasa Kepengarangan” telah menampilkan tiga orang penceramah, iaitu Munsyi Dewan (Sastera), Encik Mohamad Faizal Jamil, Pengerusi KEPESSA yang juga penulis mapan Sarawak, Puan Radzemah Bolhassan dan editor di DBPCS, Puan Saidatul Faiqah Samasu. Sesi ucap utama telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah DBPCS, iaitu Encik Ja’afar Haji Hamdan.

Program ini bertindak sebagai wadah antara pihak DBP dengan karyawan muda untuk saling bertukar idea dan pendapat secara bersemuka dalam usaha memantapkan pengkaryaan karyawan agar dapat bersaing pada peringkat kebangsaan. Sehubungan dengan itu, program selama tiga hari ini telah dilaksanakan dengan konsep penambahbaikan pengkaryaan dengan membincangkan pelbagai perkara untuk memantapkan nilai sesebuah karya berdasarkan isu yang lebih signifikan dan relevan dengan perkembangan semasa.

Pada sesi pertama, iaitu pengenalan pada penulisan kreatif yang disampaikan oleh Encik Mohamad Faizal Jamil, beliau telah berkongsi pengalaman awal penglibatannya dalam dunia penulisan sehingga akhirnya ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Sastera). Pengalaman dan perjalanan kepengarangan beliau selama lebih daripada 20 tahun turut dikongsi melalui sesi bimbingan penulisan sajak.

Peserta telah dibimbing untuk merekayasa karya melalui penggunaan gaya bahasa dan pemilihan diksi yang tepat dan indah, sesuai dengan puisi sebagai kata-kata yang terbaik dalam susunan yang terbaik. Permainan gaya bahasa yang menarik dan diksi persis dan indah adalah unsur penting untuk memastikan ketepatan, keutuhan serta kedalaman nilai erti dan rasa yang ingin disampaikan oleh penulis kepada pembaca, dapat benar-benar menembusi jiwa khalayaknya.

Peserta tekun mendengar perkongsian yang disampaikan oleh pembimbing. (Foto: Norfazrie Isquandy Nurol)

Pada sesi seterusnya yang dikendalikan oleh Puan Radzemah Bolhassan, peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk memudahkan sesi bedah karya. Peserta diminta membincangkan kekuatan dan kelemahan karya ahli dalam setiap kumpulan sebelum membacakan sebuah cerpen terbaik daripada kumpulan tersebut kepada peserta yang lain.

Sesi baca cerpen tersebut kemudiannya dikritik secara langsung oleh kumpulan lain agar wujud proses pemindahan idea dan rekayasa pada karya yang terpilih. Selain dapat berkongsi pandangan dan idea baharu, peserta secara tidak langsung telah berupaya memperkemas hasil penulisan mereka. Nada dan gaya bacaan peserta ketika membacakan cerpen turut menimbulkan kesan kepada pendengar. Bahkan, terdapat cerpen yang berjaya menyentuh emosi peserta lain sehingga ramai yang mengalirkan air mata sewaktu pembentangan berlangsung.

Pembentangan oleh ahli kumpulan semasa sesi penulisan cerpen. (Foto: Norfazrie Isquandy Nurol)

Pada hari terakhir, peserta diberi taklimat berkenaan dengan peluang penerbitan yang ada di DBP. Puan Saidatul Faiqah selaku editor penerbitan berkala telah memperkenalkan ruangan kelolaan DBPCS, khususnya “Wadah Bahasa dan Sastera” yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Sarawak. Selain itu, peserta turut diperkenalkan dengan penerbitan DBP yang lain, antaranya termasuklah majalah bercetak dan pelantar digital, iaitu JendelaDBP.

Dalam ucap utamanya, Encik Ja’afar Haji Hamdan menzahirkan ucapan terima kasih kepada penceramah dan peserta yang telah menjayakan MKM 2023. Beliau berharap agar peserta akan terus menghasilkan karya yang terbaik dan menjadi penulis prolifik Sarawak suatu hari nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.