11 Mac 2023, 16:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Kami menggali puing-puing untuk menemukan kamu, Turkiye dan Syria” merupakan tema untuk malam puisi bulanan anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) melalui kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Program yang diadakan pada 10 Mac 2023, di Rumah PENA, Kuala Lumpur ini turut dihadiri oleh tetamu khas. iaitu Menteri Luar Negeri, YBhg. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Rabya Shamz, ikon aspirasi orang muda bagi Malam Baca Puisi Bulanan PENA.

Malam Baca Puisi PENA: Aspirasi Orang Muda pada kali ini menampilkan Rabya Shamz, penulis dan penyair muda dengan bacaan sajak ciptaan beliau bertajuk “Nombor Matang” dan “Perempuan, Dilarang Senyum”. Sebagai ikon orang muda pada bulan ini, Rabya Shamz turut berkongsi pandangan beliau terhadap dunia puisi bagi anak muda. Kongsinya,

Saya rasa dunia puisi ni tak boleh terikat dengan benda sama berulang dan tak berkembang. Pada masa ini, saya masih bereksperimen dengan puisi, antaranya termasuklah monolog, intonasi suara, lenggok badan dan penggunaan ayat puitis dalam karya. Tambah menarik jika puisi tersebut membawa pandangan yang relevan dengan anak muda dan selalunya sedap untuk dibaca seperti penulisan Syaheeda Hamdani, Qurratul Ain dan Normalis Nordin. Saya rasa anak muda tak ramai yang tertarik dengan puisi, tapi bila muncul golongan yang suka bermain dengan puisi di atas pentas seperti Jack Malik dan Aliff Awan beberapa tahun sudah, persembahan puisi berjaya memukau penonton.

Dua buah puisi ciptaan beliau yang dipersembahkan pada malam semalam, memberikan nafas baharu pada bacaan puisi era kini. Puisi “Nombor Matang” dan “Perempuan, Dilarang Senyum” membawa makna dan ceritanya tersendiri. Menurut Rabya Shamz,

Puisi ‘Nombor Matang’, saya sediakan khas untuk malam baca puisi. Saya rasa bila meningkat dewasa ni, banyak benda yang jadi masalah tapi kita (rakyat) lihat nasib kita masih lagi sama. Ditambah pula dengan gelanggang (parlimen) yang kadang kala macam pentas komedi pula dibuatnya. Nombor matang, saya gunakan angka dalam puisi yang sedikit sebanyak menceritakan secara ringkas hidup manusia.

Tambahnya lagi,

Untuk ‘Perempuan, Dilarang Senyum’, saya simpan puisi ni sudah lama. Tiga hingga empat tahun rasanya. Puisi ini agak peribadi dan sepatutnya saya bawa semasa pertandingan Spoken Words beberapa tahun dulu, tapi saya simpan kerana saya mahu puisi ini difahami oleh orang bukan hanya sekadar masuk pertandingan. Tambahan pula, saya rasa tidak bersedia untuk kongsi cerita saya waktu itu. Tapi, saya fikir kalau tak kongsi sekarang bila lagi orang akan dengar puisi itu. Sudut pandang puisi ini berkaitan dengan jiwa seorang perempuan yang membesar dengan kisah hitam dalam keluarga. Kita masa kecil dulu, kalau ada masalah terlalu takut untuk kongsi dengan orang dewasa sebab kadang kala mereka yang menjadi titik punca kepada masalah itu.

Kehangatan Malam Baca Puisi Bulanan PENA pada kali, memberikan gambaran bahawa dunia puisi tanah air akan kekal relevan dan diterima masyarakat pelbagai peringkat generasi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.