7 Mac 2023, 00:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Mengangkat isu jalan rosak yang seperti sudah menjadi satu fenomena di negara ini, Produksi Peduli Studio tampil dengan idea segar dan mencuit hati melalui pementasan “Hentian Bas” karya Baem Ksani dan arahan Safie Affandi melalui program KL Park Festival yang berlangsung pada 3 – 14 Mac 2023, anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pertandingan teater pendek yang disokong oleh Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sebagai pengelola pendaftaran dan juri penilai pada 6 dan 7 Mac di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur telah mempertandingkan 12 buah persembahan teater pendek oleh kumpulan produksi teater yang berbeza.

Pertandingan Teater Pendek merupakan satu daripada acara kemuncak KL Park Festival, yang mana tiga kumpulan produksi teater terbaik akan dinobatkan sebagai pemenang utama pada malam itu.

“Hentian Bas” oleh Peduli Studio tampil dengan jalan cerita segar dalam pertandingan teater pendek KL Park Festival yang berlangsung pada 7 Mac di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Tempat pertama yang membawa pulang wang tunai RM4000, piala utama dan sijil menjadi milik Peduli Studio dengan pementasan mereka bertajuk “Hentian Bas”, KPB Production menyandang tempat kedua dengan karya berjudul “Berbuka ke Sahur?” dan Produksi Cho Zen One mendapat tempat ketiga melalui karya “Barang.”

Sentimen teruja dapat digambarkan dalam pengalaman menyaksikan semangat dan dedikasi penggiat seni muda ini, yang telah mengambil ruang dan peluang berkarya ini dengan semangat yang tinggi.

Sekitar pementasan “Hentian Bas” yang mencuit hati penonton dan juri pada malam itu.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa melalui acara itu, ruang yang dahagakan penggiat drama dan teater itu telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya, malah secara langsung telah menyuluh ruang yang menggambarkan nuansa teater kontemporari kini.

Di samping meraikan kejayaan dan pemenang untuk pertandingan tersebut pada tahun ini, turut menyusul, harapan agar acara sebegini akan terus berkembang pada tahun akan datang serta mendapat ruang besar untuk diketengahkan sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.