Oleh Masriyah Misni
7 Mac 2023, 11:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Syair merupakan bentuk puisi tradisional ciptaan dan kepunyaan orang Melayu yang mendapat pengaruh Arab dan Parsi. Menurut Syed Muhammad Naquib al-Attas, penggunaan perkataan syair lebih sesuai dengan sistem bunyi bahasa Melayu manakala Hookyas pula menyatakan walaupun perkataan syair daripada bahasa Arab, namun rupa syair ini dalam bahasa Melayu ketara keasliannya dan bukan dari negara asing. Dalam puisi Melayu tradisional, bentuk syair diperkenalkan oleh Hamzah Fansuri melalui Syair Burung Pungguk dan Syair Perahu sekitar abad ke-16. Syair ini ditulis dengan tujuan mengajarkan agama Islam kepada masyarakat.

Sebagai persediaan untuk menjadi penulis karya puisi, di samping memahami teknik penghasilan karya berkenaan, pengkarya perlu memahami proses kreatif yang dialami oleh penulis atau pengarang yang sudah mapan termasuk pengarang ternama negara dan Nusantara. Buku-buku seperti dinyatakan di atas banyak memberi pendedahan dan perjalanan kreatif pengarang ke arah penghasilan karya. Melalui bacaan, pengkarya akan dapat mengetahui kerahsiaan pengarang dalam menulis sesebuah karya sastera. Proses kreatif akan dapat memberi beberapa garis panduan kepada pengkarya untuk menulis dan menghasilkan karya sastera.

Selain itu, pengkarya digalakkan menghadiri kursus atau bengkel penulisan karya bagi memperoleh input ke arah penghasilan karya yang kreatif dan bermutu. Untuk itu, pada 28 Januari lalu, Persatuan Penulis Johor (PPJ), Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson dan Majlis Guru Besar Port Dickson telah mengadakan Bengkel Pengkaryaan Syair di dewan SK Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan kepada lebih kurang 60 orang warga pendidik dari seluruh negara. Tuan Haji Mohd Rosli Bakir, merupakan Munsyi Dewan (Sastera) telah bertindak sebagai penceramah bengkel. Tuan Haji Mohd Rosli Bakir merupakan mantan pendidik dan pentadbir sekolah menegah dan kini bergiat aktif dalam dunia kepenyairan di tanah air dan Nusantara. Perasmian bengkel tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Haji Kamanizam Haji Tindek, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Port Dickson, Negeri Sembilan.

Aliran proses permulaan penciptaan syair bagi setiap individu adalah berbeza-beza. Menurut Haji Mohd Rosli, proses penciptaan syair serupa juga dengan proses penciptaan jenis-jenis puisi lain. Suara rasa dan pemikiran seseorang sudah tentu terganggu atau tersentuh oleh pelbagai peristiwa yang ditatap dan dialaminya sehari-hari. Sepanjang pemerhatian dan penghayatan terhadap diri dan jiwa manusia, persekitaran alam yang sarat citra indah dan parah, akhirnya menjadikan seseorang pengkarya pemerhati yang tekun, perenung yang pintar dan pengolah yang cermat untuk menyalurkan suara sanubari dalam bentuk kata-kata.

Menurut beliau lagi, pengkarya akan mencerna, menapis, menyaring dan menyunting sebelum menekat pandangan dan pendiriannya. Lambakan peristiwa yang ada dalam pemikiran dan sanubari hanya dapat diterjemahkan dalam bentuk kata-kata yang baik sekiranya mereka memiliki kelebihan ilmu penggunaan bahasa. Justeru, pengalaman hidup, pembacaan yang luas, ketajaman mata hati dan mata fikir, serta kepekaan terhadap peristiwa-peristiwa istimewa dan persekitaran ciptaan Tuhan menjadi ramuan terbaik dalam proses penciptaan syair.

Selain itu, dalam proses mencipta syair, pengkarya atau penulis perlu meletakkan kefahaman yang kukuh tentang bentuk, isi dan fungsi puisi tersebut. Perkara ini amat penting bagi memastikan puisi yang dicipta itu adalah syair dan bukan puisi lain. Oleh itu, penguasaan tentang bentuk, isi dan fungsi, penguasaan bahasa terutama pemilihan diksi yang baik dan tepat, serta tuntutan ketahanan diri untuk terus berkarya merupakan nadi kejayaan dalam penciptaan syair.

Secara kesimpulannya, proses kreativiti penciptaan syair dapat diringkaskan seperti rajah tersebut (Rajah 1).

  Rajah 1 Aliran Proses Kreativiti

Pembicara juga turut berkongsi ilmu tentang panduan pengkaryaan syair yang bermutu. Beliau menekankan tiga aspek tumpuan dalam mencipta syair yang bermutu iaitu kewajaran, keseimbangan dan kesesuaian, ketepatan dan kesan makna dalam pemilihan kata atau diksi (Rajah 2).

Rajah 2 Panduan Pengkaryaan Syair yang Bermutu

Menurut pembicara lagi, dalam menentukan syair yang dicipta itu adalah bermutu, pengkarya perlu sama-sama meneliti syair yang dicipta. Analisis berikut akan dapat memberikan gambaran dan kefahaman yang lebih baik untuk memastikan pengkarya berhati-hati dan kreatif dalam mencipta syair.

Lihat contoh rangkap syair dan rima akhir dalam jadual tersebut.

Tika anakanda ditimpa sakit,                          a

Ibu ayah rasa dihimpit,                                  b

Ditelan segala walaupun perit,               c

Agar terubat segala penyakit.                         a

Sebelum
Idea Bilangan Kata Suku Kata Rima Akhir
B1 : 4 10 kit
B2 : dihimpit 4 9 pit
B3 : Ditelan segala walaupun perit 4 11 rit
B4 : 4 11 kit
Murnikan Baik Murnikan Murnikan

Tika anakanda ditimpa sakit,              a

Risaunya ibu bukan sedikit,                a

Cari penawar sejauh bukit,                 a

Agar terubat akan penyakit.                a

Selepas
Idea Bilangan Kata Suku Kata Rima Akhir
B1 : 4 10 kit
B2 : Risaunya ibu bukan sedikit 4 10 kit
B3 : Cari penawar sejauh bukit 4 10 kit
B4 : akan 4 10 kit
Baik Baik Baik Baik

Dalam proses kreativiti mencipta syair ini, pembicara menyarankan agar pengkarya usah mudah berputus asa sebaliknya perlu menanam tekad untuk teguhkan keyakinan. Pada masa yang sama, timba sebanyak mungkin ilmu pengetahuan dalam bidang ini menerusi pembacaan dan perkongsian ilmu serta pengalaman khususnya kesediaan untuk mendengar ulasan dan pandangan orang lain secara terbuka. Usaha ini perlu dilakukan dengan kegigihan, ketelitian dan ketekalan dalam berkarya. Semakin banyak berkarya, semakin kukuh pengalaman mencipta karya.

Pembicara turut menyeru agar pengkarya bersikap perfectionist dalam berkarya supaya karya terbaharu dianggap lebih baik daripada yang terdahulu. Pembicara turut berkongsi prinsip 3M dalam berkarya yang diperkenalkannya iaitu;

  • Mulai dengan hal atau perkara yang kecil (mudah kepada sukar)
  • Mulai daripada diri sendiri (pengalaman kepada dunia luar)
  • Mulai dari sekarang (sekarang dan berterusan)

Sebagai kesimpulan, syair sebagai puisi Melayu tradisional merupakan warisan berharga yang tidak boleh dipandang sepi oleh generasi kini. Syair bukan sahaja kaya dengan pemikiran tinggi dan mesej bermakna, tetapi juga membawa citra masyarakat Melayu dahulu yang luhur peribadi. Syair juga berupaya menjadi suri teladan kepada generasi madani meneruskan kehidupan. Para penulis diseru mencipta dan mengapresiasi syair asalkan tidak menyimpang daripada agama, adat dan norma-norma sosial masyarakat. Penciptaan syair secara berterusan merupakan usaha murni para penggiat puisi syair untuk menambahkan koleksi syair dalam galeri puisi Melayu tradisional tanah air seterusnya menjadi roh pengkarya dalam dunia kesusasteraan Melayu lebih perkasa.

            Dalam penciptaan syair, setiap penulis perlu memikul tanggungjawab besar untuk memastikan bentuk syair yang berkualiti dipatuhi dan kandungan pemikiran syair yang kaya pengajaran serta nilai diberikan perhatian. Hal ini amat penting memandangkan hasil pengkaryaan tersebut menjadi rujukan dan tatapan berharga masyarakat dari zaman ke zaman.

Penceramah bengkel pengkaryaan syair, Tuan Haji Mohd Rosli Bakir, Munsyi Dewan (Sastera) berkongsi input pengkaryaan syair kepada para peserta bengkel di dewan SK Intan Perdana, Port Dickson, Negeri Sembilan pada 28 Januari 2023.

 

Tuan Haji Kamanizam Haji Tindek, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Port Dickson, Negeri Sembilan menerima cenderamata kenangan daripada Tuan Haji Amiruddin, Presiden Persatuan Penulis Johor (PPJ) selepas menyempurnakan perasmian bengkel syair.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.