Oleh Nubailah Nasri
6 Mac 2023, 09:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Perlis – Buat julung kalinya, Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis telah menganjurkan Sayembara Deklamasi Loghat Perlis 2023 bersempena dengan Pesta Angin Timur 2023. Pertandingan ini merupakan hasil kerjasama daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perlis.

Sebanyak sembilan orang peserta telah mengambil penyertaan. Istimewanya pertandingan ini, peserta harus membaca sajak dalam loghat Perlis, manakala sajak pula harus diambil daripada buku Antologi Puisi Keistimewaan dan Keindahan Setempat Perlis Permata Utara Tinta Kayangan.

Dalam pertandingan tersebut, Mohamad Aidil Saharuddin yang menyampaikan sajak bertajuk “Penghelih”, karya Dr. Norhashimah telah dinobatkan sebagai juara. Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM300. Tempat kedua pula dimenangi oleh Nor Nubailah Nasri dengan menyampaikan sajak  bertajuk “Membisik Angin Kola Pengelih”, karya Ekien Ishak. Kemenangan ini membolehkan beliau memenangi wang tunai sebanyak RM250.

Mohamad Aidil Saharuddin menerima hadiah daripada Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.

Sekali lagi sajak “Penghelih” memberikan tuah kepada pemenang tempat ketiga, iaitu Noor Yusry Mansor yang memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM200. Bagi peserta lain, mereka menerima hadiah sagu hati sebanyak RM100. Walaupun pertama kali dianjurkan, namun pertandingan ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

Menurut Mohamad Aidil, walaupun dia bukan berasal dari Perlis, tetapi dia berusaha membawakan sajak dalam loghat Perlis dengan sebaik mungkin kerana amat meminati loghat negeri tersebut. Dia yang mendapat tunjuk ajar daripada pensyarah dan rakan-rakan, terutama dari segi sebutan loghat amat seronok dengan pengalaman baru yang diperolehnya. Pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ini membawa kelainan dari segi persembahan dan busana yang dipakainya seterusnya memberikan kelebihan kepadanya untuk dinobatkan sebagai juara.

Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Rahman Shaari yang juga merupakan Penasihat AKSARA turut membuat persembahan selingan dengan menyampaikan sajaknya “Dok Sengap” dalam loghat Perlis. Pertandingan tersebut diadili oleh tiga orang hakim profesional yang terdiri daripada penggiat seni, Cikgu Yaakob, Munsyi Dewan (Sastera), Dr. Mohamad Shahidan dan ketua juri, iaitu Sharif Shaary.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.