Oleh Muhammad Ibrahim
27 Februari 2023, 14:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Program Cuti Sekolah anjuran Galeri Shah Alam telah menutup tirainya semalam dengan sebuah pementasan “Teater Muzikal Kanak-kanak Tia dan Kio”. Pementasan ini menggabungkan empat cabang seni iaitu teater, tari, muzik dan visual yang akhirnya digabungkan menjadi sebuah produksi teater yang lengkap dengan dialog, gerak kreatif, muzik, kostum, set dan alatan lakon.

Sekitar pementasan “Teater Muzikal Kanak-kanak Tia dan Kio” semalam.

Program ini memberikan pendedahan kepada bakat baharu yang rata-ratanya berumur antara tujuh hingga 17 tahun untuk meneroka minat mereka dalam bidang seni kreatif. Pemangku Pengarah Galeri Shah Alam, Siti Nuraini Adenan dalam ucapan semasa majlis perasmian turut berkongsi antara objektif utama Program Cuti Sekolah ini diadakan. Katanya,

Program seperti ini adalah bertujuan untuk melatih mereka berkomunikasi dan menghasilkan idea yang baharu, hal ini disebabkan sistem pembelajaran pada masa akan datang akan menjadi lebih maju dan mereka perlu menjadi kreatif agar tidak ketinggalan. Pada masa akan datang mereka yang kreatif akan ke hadapan!

Program ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan pelibatan peserta sebanyak 50 orang, menjadikannya sebagai sebuah produksi yang gamat dan meriah dengan teriakan kanak-kanak yang cuba menghafal dan menghasilkan pementasan ini menjadi karya akhir bagi tontonan buat ahli keluarga mereka semalam.

Persembahan daripada si cilik yang mengamatkan suasana dengan bakat mereka.

Program yang berlangsung selama empat hari ini dibimbing oleh fasilitator yang sememangnya bergiat atau terlibat secara aktif dalam bidang kemahiran mereka sendiri. Fasilitator untuk program ini terdiri daripada pengarah, Azizah Hussain, pembimbing lakonan, Sarina A. Aziz Wan Alia Yuhanis, pembimbing muzik, Hakeem Sani dan Abang Hazeeq, pembimbing tarian, Nurerinny Amir, pembimbing visual,  Shahrul Sahee dan Ibrahim Sani serta pembimbing kostum dan tatarias, Mommy Watt.

Walaupun ini merupakan pementasan kos rendah, tetapi proses akhirnya masih mampu menyampaikan nilai estetika yang bernas dari sudut pandang seorang kanak-kanak. Hal ini disebabkan imaginasi mereka yang tidak terbatas membolehkan mereka membayangkan dan menyampaikan naskhah Tia dan Kio ini dengan cara mereka yang tersendiri, cukup dengan hanya menggambarkan set yang berbentuk dua dimensi, selebihnya terletak pada peserta untuk menyampaikan rasa percaya mereka kepada penonton tentang naskhah Tia dan Kio ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.