Oleh Mohilis
27 Februari 2023, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kundasang – Sebanyak 14 orang ahli Persatuan Pemuisi D’Bayu Sabah (Pemuisi D’Bayu) telah menjayakan Program Hari Keluarga Pemuisi D’Bayu kali kedua pada 24-26 Februari 2023 bertempat di D’Mesilou MJ Homestay, Kundasang. Program ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi silaturahim antara ahli dari seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Antara pengisian program ini seperti diadakan sesi perkongsian penulisan cerpen dan puisi yang disampaikan oleh Encik Nasiruddin Hassan atau lebih dikenali sebagai Nasser Mikraj, aktiviti santai seperti mencipta sajak spontan, permainan uji minda (Qu Puteh), sukaneka kanak-kanak dan malam kemuncak Program Hari Keluarga Pemuisi D’Bayu.

Sesi perkongsian penulisan cerpen dan puisi yang disampaikan oleh Encik Nasiruddin Hassan (Nasser Mikraj).

Pengasas Pemuisi D’Bayu, Nurirfiney E. Hairoland Fredo mengatakan bahawa pertemuan ini sememangnya amat bermakna kerana inilah peluang bagi ahli bertemu setelah sekian lama saling mengenali dalam arena puisi. Di samping itu, Nurirfiney turut mengucapkan terima kasih kepada ahli serta keluarga yang hadir untuk memeriahkan program tersebut, dan berharap agarĀ  lain akan dapat menyertai program ini pada masa akan datang.

Pengasas Pemuisi D’Bayu, Nurirfiney E. Hairoland Fredo berucap semasa Malam Kemuncak Hari Keluarga Pemuisi D’Bayu.

Katanya ketika berucap dalam program Malam Kemuncak Pemuisi D’Bayu,

Terima kasih kepada ahli Pemuisi D’Bayu serta keluarga yang hadir. Sesungguhnya pertemuan ini amat bermakna bagi kita kerana bukan mudah untuk kita berkumpul, apatah lagi kita berada dari daerah lain-lain di negeri Sabah dan Labuan.

Ahli Pemuisi D’Bayu dari Wilayah Persekutuan Labuan, Sani La Bise turut menampilkan persembahan sajak.

Pada malam kemuncak program ini, beberapa ahli Pemuisi D’Bayu mempersembahkan puisi masing-masing. Antaranya seperti Ainun Nasibah Johar yang mendeklamasikan puisi bertajuk “Senja yang Dinanti”, karya Ruhama dan Sani La Bise dengan sajak ciptaanya bertajuk “Lelaki yang Bergelumang Lumpur di Bendang Kehidupan”.

Ainun Nasibah Johar turut mendeklamasikan puisi bertajuk “Senja yang Dinanti”, karya Ruhama.

Selain itu, Afiq Fikri Mohd Nizam yang merupakan johan deklamasi puisi Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan untuk kategori Tingkatan Enam pada tahun 2022 turut membuat persembahan sajak bertajuk “Warga Sejati Daulah Pertiwi”, nukilan Nazim Mohd Subari. Acara pada malam turut diserikan dengan pertandingan peragaan busana dan sesi bertukar hadiah.

Afiq Fikri Mohd Nizam, Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Karnival Bahasa Melayu Peringkat Kebangsaan 2022 yang merupakan ahli Pemuisi D’Bayu tampil membuat persembahan.

Program Hari Keluarga Pemuisi D’Bayu ini diadakan sebagai aktiviti tahunan persatuan ini. Pemuisi D’Bayu yang terdiri daripada 24 orang ahli secara keseluruhan merupakan sebuah persatuan yang ditubuhkan pada tahun 2020. Persatuan ini menghimpunkan penggiat seni pentas sastera dan penulisan khususnya dalam kalangan belia berusia 18 tahun dan ke atas.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.