25 Februari 2023, 20:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada hari ini 25 Februari 2023, bertempat di Ruang Legar Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah disiarkan secara langsung menerusi media sosial DBP dan JendelaDBP sebuah rancangan resensi buku. Pembicaranya ialah Perancang Bahasa dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, iaitu Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh. Beliau memilih sebuah novel yang bertajuk Nur di Ufuk Timur, karya Zaridah Ahmad atau nama penanya Zarida Rasdi. Siaran ini bersempena dengan program Inspirasi KL yang berlangsung di Wisma DBP bermula pada 24 – 26 Februari 2023. 

Secara ringkas tentang pelibatan penulis novel Nur di Ufuk Timur dalam dunia kesusasteraan, beliau  berkarya sejak tahun 2015. Pada masa itu, beliau bermula dengan menghasilkan karya genre puisi. Namun demikian, sejak tahun 2017, Zarida Rasdi memberikan tumpuan kepada genre novel dan cerpen. Antara karya beliau ialah Mantera Mahabbah (2018), Antologi Puisi Ceritera dari Pulau (2019), Antologi Puisi Simfoni Gagak Rimba (2016) dan banyak lagi.

Puan Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh berkongsi tentang novel Nur di Ufuk Timur.

Novel Nur di Ufuk Timur mengisahkan Toshiko (Izaurra), anak perempuan kepada sepasang suami isteri berbangsa Jepun yang sudah memulakan perniagaan sake, iaitu sejenis arak tradisional buatan Jepun yang diperbuat daripada beras. Sake memiliki keistimewaan dan nilai tradisi yang tinggi dalam kalangan masyarakat Jepun. Selain itu, sake melambangkan maruah serta martabat budaya Jepun. Demikian perjuangan yang ingin diperkenalkan oleh bapa Toshiko terhadap warisan sake miliknya sehingga dia membuka perniagaan sake di Melaka.

Novel ini mempamerkan plot yang menarik, iaitu bermula daripada pembacaan muka surat pertama yang memperlihatkan pelbagai peristiwa tragik yang dialami oleh Toshiko (Izaurra) yang tinggal sebatang kara kerana ibu bapanya telah mati dibunuh oleh yakuza, iaitu kumpulan kongsi gelap atau samseng yang wujud dalam kitaran perniagaan yang bertujuan untuk menghapuskan mana-mana individu atau kumpulan yang tidak sehaluan dengan ideologi atau hala tuju yakuza.

Toshiko telah menyaksikan sendiri babak bagaimana ibu dan bapanya telah dibunuh dengan kejam dan rumah mereka dibakar sehingga hangus. Peristiwa yang dialami oleh Toshiko ini telah mendapat liputan media tempatan. Namun nasib menyebelahinya apabila Toshiko berjaya diselamatkan oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya.

Walaupun menempuh pelbagai kisah pahit, namun Izaurra tetap tumbuh sebagai remaja perempuan yang amat teguh pegangan agamanya. Melewati hari-hari sebagai remaja yang berhadapan dengan pelbagai liku, Izaurra tetap tenang dan sejak kecil dia sentiasa berkongsi kasihnya dengan Zaid Zasmani. Melalui pembacaan novel ini, pembaca akan melihat semangat perjuangan Toshiko yang tidak pernah lelah daripada halangan yang ditempuhinya, watak pejuang lainnya termasuklah Shun Kanabe, Zen Hiroyuki, Hanako Tamara, Kaizumi dan lain-lainnya yang mewarnai kisah perjuangan gadis Jepun ini tanpa surut.

Untuk makluman, novel ini merupakan satu daripada lima buah buku yang dilancarkan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, iaitu Tuan Haji Razali Che Mat dalam Festival Buku Langkawi 2023, yang diadakan di Pusat Beli-Belah Langkawi Fair baru-baru ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.