25 Februari 2023, 10:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bertepatan dengan slogan “Ini Pesta Buku Cara Kita!” Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2023 (KLAB 23) sekali lagi berlangsung di Central Market Kuala Lumpur pada 23-26 Februari 2023 bermula pada pukul 10.00 pagi hingga pukul 8.00 malam. KLAB 23 pada tahun ini dilihat lebih meriah sambutannya berbanding dengan tahun sebelumnya.

Rumah penerbitan Dubook Press antara pempamer yang turut serta dalam Kuala Lumpur Alternative Bookfest 2023.

Sebanyak 37 orang pempamer yang turut serta dalam KLAB 2023 kali ini, sekali gus membuka peluang kepada rumah penerbitan persendirian untuk mempromosikan buku  baharu terbitan mereka. Antara rumah penerbitan yang hadir untuk acara ini seperti penerbitan Katapillar, Toko Buku Pujangga Baru, Riwayat, Buku Fixi, Ilham Books dan Toko Sue.

Antara buku daripada rumah penerbitan muda yang mendapat perhatian pada kali ini ialah rumah penerbitan Katapillar. Buku terbaharu keluaran rumah penerbitan Katapillar tahun ini telah membawa barisan penulis muda bawah Tukang Puisi dengan  mengumpulkan penulis pemula, muda dan mapan di bawah satu bumbung yang sama. 24 buah puisi, sebuah cerpen dan ulasan buku, dua buah esei serta ruangan temu bual turut dimuatkan dalam Tukang Puisi: Isu 11 kali ini.

Barisan penulis dalam Tukang Puisi: Isu 11 di bawah rumah penerbitan Katapillar.

Menariknya, karya yang termuat dalam Tukang Puisi: Isu 11 turut mengetengahkan beberapa penulis dan ikon muda yang pernah berkarya dalam majalah Tunas Cipta antaranya seperti Khoo Phau Liang, Zamhari Bakti, Mohilis, Istajib Mokhtar, Lokman Hakim dan Jack Malik. Barisan penulis ini dikumpulkan melalui penghantaran terbuka Tukang Puisi di laman sosial yang kemudiannya disaring dan dinilai untuk diterbitkan.

KLAB 23 tahun ini telah membuktikan kemampuan rumah penerbitan persendirian tempatan mampu bergerak melalui promosi dengan cara mereka tersendiri.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.