23 Februari 2023, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah menganjurkan Program Bimbingan Penulisan Sajak dan Penerbitan Karya pada 21 hingga 22 Februari 2023, bertempat di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak. Program yang berlangsung selama dua hari ini menampilkan dua orang pembimbing, iaitu Munsyi Dewan (Sastera), Encik Mohamad Faizal Jamil dan editor dari Unit Penerbitan DBP Cawangan Sarawak, Puan Saidatul Faiqah Samasu. Sebanyak 54 orang pelajar dari Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching dan empat orang guru pengiring yang terlibat sebagai peserta dalam bengkel ini.

Para peserta terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Chung Hua No. 1, Kuching.

Program ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan bakat penulisan kreatif dalam kalangan pelajar, menyediakan ruang perkongsian idea dan teknik penulisan serta kaedah penerbitan karya. Selain itu, penganjuran program ini adalah selaras dengan perancangan DBP Cawangan Sarawak yang akan menjalinkan sinergi bersama-sama akhbar Sin Chew Daily untuk penerbitan ruangan baharu dalam akhbar tersebut. Ruangan baharu itu nanti akan menyiarkan karya daripada penulis Cina dari Sarawak. Sehubungan dengan itu, peserta dalam program ini dibimbing dalam Sesi Bedah Karya agar mereka dapat menghasilkan sajak yang baik.

Pada hari pertama, Encik Mohamad Faizal turut memperkenalkan penggunaan aplikasi Kamus Pro kepada peserta untuk memudahkan mereka memilih perkataan yang sesuai untuk digunakan dalam penulisan dan menerangkan contoh penggunaan yang betul dalam ayat. Hal ini seiring dengan definisi puisi oleh seorang penyajak Barat, Samuel Taylor Coleridge yang mengatakan bahawa puisi sebagai kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. Berdasarkan definisi tersebut, sajak menekankan keindahan yang diserlahkan melalui penggunaan diksi yang terbaik dan sesuai dengan tema sesebuah karya.

Encik Mohamad Faizal Jamil menunjukkan penggunaan aplikasi Kamus Pro kepada peserta.

Pada sesi seterusnya, Encik Mohamad Faizal berkongsi tentang syair dan lagu puisi kepada peserta untuk menunjukkan variasi bentuk puisi dan kesinambungan daripada penghasilan sajak yang boleh dijadikan sebuah lagu.

Seterusnya, pada hari kedua pula, diadakan sesi memperkenalkan ruangan penerbitan karya yang dikelolakan oleh DBP Cawangan Sarawak. Puan Saidatul Faiqah telah memberikan perkongsian berkaitan dengan kriteria yang perlu dipatuhi oleh penulis sekiranya mereka menghantar karya untuk tujuan penerbitan.

Pada akhir program, diadakan sesi penyampaian sijil dan hadiah kepada peserta yang telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, iaitu Encik Ja’afar Hamdan. Dalam ucapannya, Encik Ja’afar Hamdan menzahirkan rakaman penghargaan dan ucapan terima kasih kepada guru dan pelajar kerana menyambut baik undangan daripada DBP Cawangan Sarawak biarpun pada masa ini sekolah sedang bercuti.

Program ini merupakan usaha DBP Cawangan Sarawak untuk meningkatkan dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat, khususnya masyarakat yang berbangsa Cina. Semoga selepas ini, dengan adanya bimbingan dan kerjasama berterusan daripada pihak DBP bersama-sama sekolah mahupun institusi yang lain, akan melahirkan pelapis generasi baharu dalam penulisan kreatif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.