Oleh Julia Henry
21 Februari 2023, 14:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peribahasa “Biar mati anak jangan mati adat” menunjukkan begitu pentingnya adat dalam kehidupan masyarakat sebagai asas keamanan kerana adat membentuk peraturan dalam kehidupan masyarakat.  Adat juga dikatakan sebagai cara hidup atau cara manusia mengatur kehidupan mereka. Dalam Sulalatus Salatin banyak unsur adat istiadat dan kebudayaan masyarakat Melayu lama diselitkan oleh pengarangnya untuk tatapan khalayak pembaca.

Secara khusus, Sulalatus Salatin mengangkat persoalan tentang adat istiadat yang meliputi segala peraturan, larangan dan upacara di istana. Jelas bahawa unsur tersebut menepati satu daripada ciri karya agung Melayu sebagaimana yang digariskan oleh Yayasan Karyawan, iaitu nilai budaya atau pandangan hidup, lantas menjadikan Sulalatus Salatin sebagai karya agung yang berwibawa.

Nilai Budaya atau Pandangan Hidup

Melihat melalui sudut adat istiadat Melayu serta fungsinya dalam Sulalatus Salatin, ia merupakan bahagian yang penting, khususnya daripada perspektif ketuanan dan kekuasaan Melayu. Peraturan dan larangan yang dipaparkan dalam Sulalatus Salatin melibatkan dua jenis golongan utama iaitu golongan pemerintah dan yang diperintah. Adat istiadatnya berhubung dengan agama, protokol di istana, adat menjunjung duli, taraf pembesar istana, adat istiadat memberikan gelaran dalam pelantikan pembesar, adat istiadat memberikan persalinan, adat istiadat ditandu dan diusung, adat istiadat pertabalan, adat istiadat mengarak surat menaiki gajah dan sebagainya.

Berkaitan dengan adat istiadat pelantikan pembesar, baginda Raja Muda telah melantik empat orang menteri bagi membantu sultan dalam urusan pemerintahan. Pelantikan empat orang menteri tersebut bertujuan untuk menjalankan urusan pemerintahan raja, terutamanya dalam melaksanakan titah raja dan menyampaikan masalah rakyat kepada raja. Di samping itu, baginda turut melantik orang suruhan raja dan pembawa peralatan diraja. Adat istiadat pelantikan ini memaparkan bagaimana raja memperturunkan ciri-ciri kebesaran, ketuanan dan kekuasaan baginda kepada golongan yang diperintah.

Maka Raja Mudalah memerintahkan istiadat takhta kerajaan baginda. Bagindalah yang pertama berbuat menteri empat orang di balai mengajari orang; mengadakan bentara empat puluh berdiri diketapakan akan menjunjung titah raja, dan menyampaikan barang sesuatu sembah orang ke bawah duli raja, dan bagindalah yang menjadikan Anak Tuan-tuan biduanda kecil, dijadikan suruh-suruhan raja dan membawa segala alat raja barang sebagainya.

(Sulalatus Salatin, 2010:71-72)

Menyentuh hal peraturan dan larangan istana kepada rakyat, dalam Sulalatus Salatin dipaparkan kisah Raja Kecil Besar yang berlaku adil dalam menjaga rakyat jelata dan negeri Melaka. Baginda memeluk Islam setelah bermimpi bertemu dengan Nabi Mustaffa. Setelah itu, baginda memakai nama Sultan Muhammad Syah. Baginda dikatakan sebagai raja yang mula-mula memperkenalkan peraturan dan larangan terhadap rakyat.

Syahadan bagindalah yang pertama-tama meletakkan “kekuningan larangan”; tidak dapat dipakai orang keluaran, dan diambil akan sapu tangan; dan tiada dapat dibuat tepi tabir dan ulasan bantal besar dan tilam, dan bungkus barang apa-apa, dan akan karang-karangan benda; dan tiada dapat diambil akan perhiasan rumah; dan lain daripada itu pun tiada juga dapat, melainkan kain, baju, dan destar,tiga perkara itu jua yang dapat dipakai. Dan larangan berbuat rumah bermanjungan bertiang gantung, tiada terletak ke tanah; dan bertiang terus dari atap, dan peranginan; dan jikalau perahu, bertingkap berpenghadapan, dan tidak dapat orang memakai penduk dan teterapan keris; sebesar-besar orang keluaran tiada dapat bergelang kaki emas, dan jikalau berkeroncong emas berkepala perak tiada boleh.

Bermula segala orang yang beremas, bagaimana sekalipun kayanya, jikalau tiada dianugerahi raja tiada boleh dipakai, apabila sudah dianugerahi barang sekali jua pun, dapatlah dipakai selama-lamanya. Dan jikalau orang masuk ke dalam jika tiada kain berpancung, dan berkeris di hadapan, dan bersebai, tiada dapat masuk, barang siapa pun baik; dan apabila berkeris di belakang masuk ke dalam, dirampas oleh penunggu pintu.

Maka inilah dahulu kala larangan raja Melayu, barang siapa melalui dia salah ke bawah duli, hukumnya didenda pati, yakni sekati lima. Bermula payung putih itu tampak dari jauh sebab itulah maka payung putih lebih daripada kuning; dan pakaian raja payung putih, dan pakaian anak raja payung kuning.

(Sulalatus Salatin, 2010:74-75)

Pengarang Sulalatus Salatin dengan jelas memperincikan larangan yang harus dipatuhi oleh golongan rakyat biasa dalam kehidupan mereka. Larangan tersebut berhubung dengan kehidupan di istana dan rakyat biasa dilarang mengamalkan cara hidup golongan raja. Larangan tersebut menjadi peraturan yang perlu diterima, dipatuhi dan ditaati oleh semua rakyat dan pembesar pada ketika itu agar mudah difahami, larangan tersebut dijelaskan seperti yang berikut:

  1. Larangan warna kuning – Warna kuning adalah menjadi hak milik mutlak raja dan rakyat biasa dilarang menggunakan warna tersebut.
  2. Peraturan membuat rumah – Rakyat dilarang membuat rumah yang mempunyai anjung serta serambi bertiang gantung. Rakyat juga dilarang membuat rumah bertiang terus dari atap menganjur ke tanah.
  3. Peraturan membuat perahu – Rakyat dilarang membuat perahu yang bertingkap dan menghadap ke hadapan.
  4. Larangan menggunakan keris yang mempunyai sarung diperbuat daripada emas atau perak – Rakyat dilarang menggunakan keris yang mempunyai kosong di tengahnya.
  5. Larangan memakai gelang kaki daripada emas – Rakyat juga dilarang memakai gelang kaki yang mempunyai loceng. Namun begitu, sekiranya barang tersebut dianugerahkan oleh sultan kepada rakyat tersebut, maka mereka bebas memakainya.
  6. Larangan memakai payung putih dan kuning – Payung berwarna putih untuk raja, manakala payung berwarna kuning untuk anak-anak raja.

Sulalatus Salatin juga memaparkan adat istiadat memberikan gelaran kepada pembesar atau rakyat dengan terperinci. Yang istimewanya, upacara tersebut akan diiringi dengan bacaan teks tentang ciri tokoh yang menerima gelaran. Teks tersebut akan dibaca oleh seorang lelaki yang lengkap memakai pakaian tradisi, yang dinamakan Batala.

Telah orang bergelar itu datang ke dalam, maka dihentikan di luar, maka ciri yang amat indah-indah bunyinya dibacakan orang di hadapan raja. *Daripada anak cucu Batala maka dibawa orang keluar.

(Sulalatus Salatin, 2010:77)

Nama Batala diberikan oleh Demang Lebar Daun yang bermaksud orang yang membaca ciri. Dia berasal daripada buih yang dimuntahkan oleh lembu yang dinaiki oleh Sang Sapurba atau Sang Nila Pahlawan. Batala membacakan ciri bertujuan untuk menguarkan tokoh yang dipilih oleh raja, serta memberitahu kelayakan dan asalnya daripada keturunan yang baik-baik, ulung dan ternama. Setelah pembacaan ciri tamat, majlis diteruskan dengan anugerah persalinan kepada tokoh yang menerimanya.

Jika akan jadi Bendahara, lima cerper persalinannya; baju seceper, kain seceper, dester seceper, sebai seceper, ikat pinggang seceper; jikalau anak raja-raja dan para menteri cateria empat ceper juga, ikat pinggang tiada; jikalau bentara sida-sida hulubalang tiga ceper; kain seceper, baju seceper, destar seceper, ada yang semuanya sekali seceper, ada yang tiada berceper, kain, baju,destar di biru-biru sahaja, maka diampu oleh hamba raja, datang pada orang bergelar itu disampaikan di lehernya. Dan jika persalinan utusan, demikian juga adatnya, masing-masing pada patutnya.

(Sulalatus Salatin, 2010:77)

Baju sakhlat dan keris seperti yang disebut dalam Sulalatus Salatin melambangkan kebesaran dan kepahlawanan Melayu. Alat tersebut dianugerahkan oleh raja kepada pihak tertentu dalam adat istiadat memberikan pangkat dan jawatan tadbir. Alat kebesaran yang diberikan berbeza antara satu sama lain. Perbezaannya terletak pada jenis dan bentuk alat yang diberikan, yang kebiasaannya alat tersebut sebagai simbol dan tanda tugas yang perlu dilaksanakan oleh penerimanya. Tombak dianugerahkan kepada temenggung sebagai simbol keamanan. Peralatan buli-buli (tempat mengisi dakwat) diberikan kepada bendahara sebagai ketua pentadbiran negeri yang bertanggungjawab dalam hal surat-menyurat dengan kerajaan asing untuk tujuan hubungan diplomatik.

Adapun akan adat dahulu kala, apabila akan jadi bendahara atau penghulu bendahari atau temenggung atau akan jadi menteri, dianugerahi baju sakhlat dan keris dengan selengkap alatnya. Tetapi penghulu bendahari dan temenggung dan para menteri tiada berkebak, akan bendahara berkebak dan buli-buli dakwat; jikalau jadi temenggung dianugeri tombak bertetampan.

(Sulalatus Salatin, 2010:77)

Terdapat juga adat istiadat ketika raja berangkat. Digambarkan sekiranya raja berangkat menaiki gajah, maka kedudukan temenggung berada di hadapan, laksamana atau Seri Bija diraja berada di kedudukan belakang, bentara akan membawa pedang kerajaan. Sekiranya ada istiadat menghadap nobat, orang besar-besar berdiri di sebelah kiri gendang, manakala orang yang berkedudukan kecil berdiri di kanan gendang semasa perarakan tersebut.

Sewaktu menghadap nobat, khasnya apabila adanya kehadiran Bendahara, beliau akan dianugerahi sirih nobat, bersama-sama anak raja, kemudian dianugerahi pula kepada Penghulu Bendahari, Temenggung, empat orang menteri, Laksamana dan Seri Bija al–Diraja, sida-sida yang tua-tua dan para ceteria. Jikalau Bendahara tidak menghadiri istiadat ini, sirih nobat tidak dianugerahkan walaupun yang turut hadir ialah anak-anak raja.

Bermula jika raja bergajah, Temenggung di kepala gajah, Laksamana atau Seri Bija Diraja di buntut, bentara memikul pedang kerajaan. Adapun jika menghadap nobat, barang orang Besar-besar dari kiri gendang; barang orang kecil dari kanan gendang. Adapun yang kena sirih nobat pertama Bendahara dan anak raja-raja, dan penghulu Bendahari, dan Temenggung, dan Menteri keempat, dan kadi, dan pakeh, dan Laksamana, Seri Bija Diraja, dan sida-sida yang tua-tua, dan barang siapa yang dikehendaki raja, dan cateria, itu pun jikalau ada, tiadalah bersirih puan itu, jikalau ada anak raja-raja sekalipun.

(Sulalatus Salatin, 2010:78)

Adat istiadat menerima surat utusan digambarkan begitu meriah dengan menggunakan kenderaan sama ada bergajah atau berkuda. Sambutannya dibuat dengan penuh adat istiadat bagi melambangkan kebesaran dan kekuasaan raja yang memerintah. Di samping itu, sambutan secara besar-besaran melambangkan ketinggian seni dan adat istiadat masyarakat Melayu.

Jika surat dari Pasai atau dari Haru, dijemput dengan selengkap alat kerajaan: Gendang, serunai, nafiri, negara, payung putih dua berapit; melainkan mendeli jugayang tiada pergi menjemput itu; dan menteri mengepelakan gajah, dan bentara di buntut gajah; sida-sida membawa surat dengan penghulu biduanda kecil; dan gajah dikepilkan di hujung balai, kerana raja dua buah negeri itu sama besarnya dengan raja Melaka, tua muda sekaliannya berkirim salam jua.

(Sulalatus Salatin, 2010:76)

Setiap perutusan akan diberikan persalinan oleh raja apabila mereka kembali ke negeri mereka. Sekiranya terdapat perutusan dari Melaka membawa surat ke negeri lain juga akan diberikan persalinan oleh raja.

Bermula utusan itu, jika akan pulang, dipersalini adatnya, dan jika utusan Rekan sekalipun, dipersalini adatnya, dan jika utusan Rekan sekalipun, dipersalin juga; dan jika utusan kita akan pergi pun persalin juga adatnya.

(Sulalatus Salatin, 2010:76)

Upacara yang melibatkan majlis keagamaan juga tidak terlepas daripada adat istiadat yang telah ditetapkan. Dalam Sulalatus Salatin, diperlihatkan bagaimana adat istiadat apabila menyambut bulan Ramadan. Sejadah, semua alat kebesaran dan gendang diarak ke masjid, iaitu pada malam 27 berpuasa.

Syahadan jika malam dua puluh tujuh, tatkala pada siangnya mengarak sejadah ke masjid, Temenggung mengepalakan gajah; maka puan dan segala alat kerajaan dan gendang, semuanya diarak dahulu ke masjid. Setelah malam maka raja berangkat seperti adat hari sembahyang terawih, sudah itu berangkat kembali.

(Sulalatus Salatin, 2010:79)

Begitu juga ketika raja berangkat ke masjid untuk menunaikan solat hari raya. Keberangkatan raja ke masjid juga diiringi upacara adat istiadat.

Tatkala hari raya kecil atau besar, maka Bendahara dan segala Orang Besar-besar sekaliannya masuk berkampung ke dalam; usungan pun diarak oleh Penghulu Bendahari masuk. Setelah melihat usungan, maka segala orang yang duduk di balai habis turun berdiri, beratur bersaf-saf, maka ‘gendang adi-mula’ pun dipalu oranglah tujuh ragam; pada seragam nafiri berbunyi. Setelah genaplah tujuh kali, maka raja pun berangkatlah keluar bergajah diarah ke istana. Setelah mereka melihat raja, sekaliannya duduk di tanah, maka usungan pun terkepillah di astaka, maka Bendahara naik ke taska menyambut raja naik ke aras usungan, lalu berangkat ke masjid seperti yang tersebut dahulu itu.

(Sulalatus Salatin, 2010:79)

Adat istiadat perkahwinan diraja dipaparkan ketika peristiwa perkahwinan antara Raja Omar, Putera Sultan Alau’d-Din dengan puteri Sultan Pahang, Raja Fatimah. Adat perkahwinan dimulai dengan menghantar sirih pinang dan emas belanja, kemudian perarakan dengan gajah dan seterusnya akad nikah oleh kadi. Akad nikah biasanya diadakan pada hari ke-40 keramaian. Di sinilah dapat dilihat bagaimana adanya adat menyuap nasi adap-adapan, iaitu pengantin akan disandingkan dan disuap adap-adapan oleh isteri-isteri raja atau orang tua-tua. Setelah bersuap-suapan, maka Raja Omar pun memimpin tangan Raja Fatimah naik bersanding di atas pelamin.

Maka Sultan Pahang pun bersegeralah menghantar sirih dengan emas belanja, seperti adat segala raja-raja menghantar sirih, demikianlah dikerjakan orang… .

Setelah genaplah empat puluh hari empat puluh malam berjaga-jaga itu, kepada keesokan harinya, maka Raja Omar dan Raja Fatimah pun dihiasi oranglah dengan pakaian kerajaan yang bertatahkan ratna mutu intan baiduri. Setelah itu maka Raja Omar pun dinaikkan orang ke atas gajah.

Setelah sudah nikah, lalu dipimpin Sultan Alau’d-Din dan Sultan Pahang masuk ke dalam, didudukkan di kanan Raja Fatimah, maka nasi adap-adap yang berperhiasan emas berpermata itu pun diangkat oranglah ke hadapan baginda kedua; maka datanglah isteri raja-raja yang tua-tua menyuapi baginda kedua. Setelah sudah bersuapan, maka Raja Omar pun memimpin tangan isteri naik ke pelamin.

(Sulalatus Salatin, 2010:300)

Peristiwa adat istiadat perkahwinan diraja menunjukkan kebesaran dan keagungan yang dimiliki oleh raja dan keturunannya. Setiap ciri adat istiadat yang dilaksanakan semasa perkahwinan diraja mempunyai kepentingan, makna dan falsafahnya yang tersendiri. Sesuatu yang menarik dan nampak hebat apabila pada zaman itu, rakyat sudah menerima falsafah tersebut apabila melihat kepatuhan dan taat setia mereka terhadap raja dan golongan pemerintah.

Sememangnya penekanan terhadap aspek adat istiadat dalam Sulalatus Salatin oleh pengarang dilihat sebagai mekanisme untuk mengukuhkan lagi keistimewaan dan kedudukan raja-raja Melayu. Aspek ini turut menyerlahkan lagi kebesaran, ketuanan dan kekuasaan raja, sama ada yang diungkapkan secara tersirat atau tersurat. Lantaran itu, kedudukan raja-raja Melayu akan menjadi teguh dan berdaulat, ditambah dengan kepercayaan dan keyakinan bahawa adat istiadat yang ditetapkan ini sebagai ideologi kenegaraan yang membentuk teras dalam struktur pemerintahan kesultanan Melayu.

Memetik tulisan Zainal Abidin Borhan dalam buku Adat Istiadat dalam Sulalat Al-Salatin (2013) yang menyatakan, “Adat istiadat yang terkandung dalam Sulalat Al-Salatin dapat dikesan perluasan penggunaannya di negeri-negeri Melayu seperti yang sudah dideskripsikan dalam Hikayat Misa Melayu, Hikayat Pahang, Adat Raja-raja Melayu hinggalah Kenang-kenangan Selangor.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.