Diterbitkan pada 20 Februari 2023, 14:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Studio siaran langsung media sosial DBP kali ini membawakan rancangan “Pena Editor: Bicara Karyawan” dengan menampilkan Dr. Husairi Hussin yang lebih mesra dengan nama pena, Putraery Ussin, penulis novel remaja Awan Berombak untuk membicarakan novel remaja terbaharu beliau yang bertajuk Awan Berombak. Novel ini menyelami kehidupan dan kecekalan jiwa remaja dalam mengharungi impian untuk sampai ke puncak impian dan kehidupan mereka.

Dr. Husairi Hussin merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pengajian Pendidikan Universiti Utara Malaysia dan aktif menulis dalam pelbagai genre penulisan seperti cerpen, novel, buku cerita kanak-kanak, puisi dan skrip drama pentas.

Perkongsian tentang novel remaja Awan Berombak karya Dr. Husairi Hussin yang bersiaran di pelantar media sosial DBP.

Awan Berombak mengambil 80 peratus kisah benar penulis yang menyertai Kelab Kembara yang ditubuhkan untuk merancang pendakian gunung paling rendah (busut) sehingga bercita-cita untuk mendaki gunung tertinggi di dunia. Apabila ditanya, bagaimanakah beliau boleh terlintas untuk menghasilkan karya kreatif pertamanya? Dr. Husairi berkongsi,

Dalam satu ucapan hari guru 2002 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, guru merupakan insan yang paling banyak pengalaman atau kisah untuk ditulis dan dikongsi. Ucapan itu saya ambil sebagai cabaran untuk mula menulis.  Saya belajar menulis secara serius bersama dengan Allahyarham Azizi Hj Abdullah. Di situlah bermulanya perjalanan penulisan saya. Bagi saya, daripada menulis tentang orang, lebih baik saya berkongsi pengalaman sendiri dengan pembaca.

Tema kecekalan dan ketabahan dalam mengharungi impian merupakan tema utama yang diangkat dalam novel ini kerana saya mahu nilai seperti ini menjadi persediaan buat remaja di luar sana untuk lebih bersedia dengan realiti kehidupan. Watak remaja yang terbahagi kepada dua kempulan, iaitu lelaki dan wanita menjadi titik tolak persaingan sihat dalam kalangan anak muda. Novel ini dilihat tidak hanya bersesuaian untuk pembaca muda tetapi juga untuk semua peringkat umur.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi