Oleh Mohilis
18 Februari 2023, 21:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Persatuan Sastera dan Budaya Sabah dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Majalah dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah telah menganjurkan Program Bengkel Perolehan Manuskrip Majalah Tunas Cipta dan Manuskrip Buku Kanak-kanak dan Remaja di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada hari ini.

Program ini bertujuan untuk memberikan panduan kepada peserta berkarya dalam Majalah Tunas Cipta, sama ada bagi majalah bercetak atau menerusi di JendelaDBP, di samping mengumpulkan karya yang dihasilkan untuk penerbitan. Sebanyak 40 orang peserta daripada pelbagai persatuan penulis dan institusi pendidikan di negeri Sabah mengambil bahagian dalam program ini. Antaranya termasuklah Persatuan Sastera dan Budaya Sabah, Ikatan Penulis Sabah (IPS), Persatuan Momogunsia, Pemuisi D’Bayu, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, dan beberapa buah sekolah menengah.

Ucapan alu-aluan oleh Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar.

Semasa berucap dalam program ini, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar menasihati penulis baharu agar memulakan langkah awal penulisan dengan sebaik-baiknya agar hala tuju dalam bidang ini dapat digunakan bagi menghasilkan karya secara berterusan.

Menurutnya lagi, penulis muda yang prolifik juga perlu terus menghasilkan karya-karya berkualiti bagi merancakkan lagi bidang sastera di negara ini.

Encik Sukor Usin atau Hasyuda Abadi, penerima Anugerah Sasterawan  Negeri Sabah ke-3 (kiri) turut hadir bersama-sama Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah (PSBS), Encik Norawi Haji Kata (kanan).

Ketika berucap tentang penerbitan karya menerusi media sosial yang memberikan persaingan kepada karya yang diterbitkan menerusi buku dan majalah, jelas beliau:

Ramai penulis, terutamanya penulis baharu mahu melihat karyanya tersiar dan dibaca oleh khalayak, lantas jalan mudah adalah dengan menyiarkan karyanya dalam media sosial. Ramai juga penulis yang teruja apabila karyanya mendapat banyak ‘tanda suka’ daripada pengguna media sosial. Namun nasihat saya, berkaryalah di medan dan ruang yang betul yang boleh membimbing penulis untuk menjadi penulis yang lebih baik dan berkualiti karyanya.

Karya-karya yang diterbitkan oleh DBP berpeluang untuk menyertai anugerah tertentu sekiranya mencapai tahap tertentu seperti Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Negeri atau anugerah buku yang dianjurkan di peringkat kebangsaan seperti Anugerah Buku Malaysia, Anugerah MAPIM (bagi buku ilmiah) dan sebagainya. Siapa tahu, tapak mula untuk berkarya dalam Tunas Cipta dan menerusi penerbitan buku DBP akan menjadi tapak yang melonjakkan penulis dan karyanya ke tahap yang lebih tinggi suatu hari nanti.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Sastera dan Budaya Sabah, Encik Norawi Haji Kata berkata bahawa program ini dapat memberikan impak yang besar kepada para peserta kerana pelbagai input berkaitan dengan peluang berkarya dapat dikongsikan oleh editor majalah Tunas Cipta itu sendiri. Menurut Encik Norawi lagi, walaupun Persatuan Sastera dan Budaya Sabah merupakan satu persatuan yang kecil, namun usaha mengadakan bengkel ini tetap berjalan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak, khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka.

Salah seorang peserta bengkel, iaitu Ainun Nasibah berpendapat bahawa program ini memberikan banyak manfaat dan input kepada penulis pemula tentang ciri-ciri karya yang dikehendaki oleh pihak editor untuk diterbitkan. Suzan Kitus, pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Kent, Tuaran pula berkata bahawa beliau akan berkarya secara lebih konsisten dan kerap menghantar manuskrip ke majalah Tunas Cipta selepas ini.

Editor Kanan Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Puan Shakira Khairudin memberikan taklimat berkaitan dengan penerbitan buku kanak-kanak dan remaja kepada perserta.
Taklimat JendelaDBP oleh YBrs. Dr. Rosmani Omar.
Taklimat Majalah Tunas Cipta dan sesi bedah karya oleh Editor Majalah Tunas Cipta, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil.

Bengkel ini terbahagi kepada tiga slot, iaitu taklimat JendelaDBP yang dikendalikan oleh YBrs. Dr. Rosmani Omar, taklimat penulisan buku kanak-kanak dan remaja oleh Editor Kanan dari Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, iaitu Puan Shakira Khairudin, serta taklimat majalah Tunas Cipta dan sesi bedah karya oleh Editor Majalah Tunas Cipta, Puan Siti Noorisa Abdul Khlil.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Puan Jennitah Noordin yang mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar.

Timbalan Pengarah II Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin (dua dari kiri) yang hadir mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Aminah Awang Basar.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.