Oleh Nubailah Nasri
16 Februari 2023, 16:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Perlis – Ros Nur Aliah Roslan, pelajar tingkatan 5 dari SMK Kuala Perlis muncul juara pertandingan Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) peringkat Zon Selatan 1 melalui resensi novel Salina, karya Sasterawan Negara A. Samad Said.

Pertandingan ini merupakan acara tahunan, dan ini merupakan kali pertama diadakan secara bersemuka selepas pandemik COVID-19. Program NILAM telah dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk menggalakkan pelajar di seluruh Malaysia menanam minat membaca dalam diri mereka sejak dari bangku sekolah lagi.

Menurut Ros Nur Aliah,

Novel Salina memberikan ilmu tentang pelukisan watak selain jalinan plot yang menarik. Selain  itu, bahasa yang digunakan oleh pengarang masih mudah difahami oleh pembaca.

Guru Perpustakaan dan Media SMK Kuala Perlis, Cikgu Mas Man menyatakan bahawa Ros Nur Aliah merupakan pelajar yang amat mencintai buku. Beliau membaca buku dalam pelbagai genre, termasuklah buku motivasi. Beliau dipilih sebagai tokoh nilam peringkat sekolah kerana telah membaca buku melebihi 500  buah buku sejak dari tingkatan 1. Ketokohan yang ada padanya membuatkan Ros Nur Aliah layak untuk mewakili sekolah pada peringkat zon.

Untuk pertandingan resensi ini, Ros Nur Aliah mendapat bimbingan daripada guru Bahasa Melayu di SMK Kuala Perlis, iaitu Puan Rosmaliza dan Puan Nor Nubailah. Program sebegini diharap dapat diteruskan lagi bagi memberikan galakan kepada generasi muda membaca karya Sasterawan Negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.