11 Februari 2023, 14:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Generasi penulis baharu perlu dibentuk untuk menggantikan penulis lama yang mungkin sudah meninggal dunia atau semakin kurang berkarya. Penggantian ini sangat perlu untuk memastikan bidang penulisan, khususnya sastera terus hidup dan berkembang. Menyedari hal tersebut, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak mengambil inisiatif dengan mengadakan “Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Cilik”, bertempat di Sekolah Kebangsaan Tanah Hitam, Chemor Perak.

Selain mencungkil bakat peserta dalam bidang penulisan  cerpen, bengkel ini juga bertujuan untuk mengasuh kecintaan generasi baharu terhadap adat warisan dan budaya, memperkenalkan kebudayaan tempatan kepada pelajar, dan memperkaya dokumentasi budaya dalam bentuk penulisan.

MK Riza, penulis kelahiran Perak, diundang sebagai tokoh jemputan untuk membicarakan kebudayaan setempat. Dalam ucapannya, MK Riza memberikan pencerahan berkenaan dengan kebudayaan negeri Perak yang pelbagai dan keupayaan menjadikannya sebagai tema dalam penulisan cerpen.

MK Riza sebagai penceramah “Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Cilik”.

Selain itu, MK Riza turut mengajar tentang cara menghasilkan cerpen yang baik, antaranya melalui kaedah membina kerangka penulisan cerpen. Setiap peserta dikehendaki menyediakan peristiwa peta sebagai rangka penulisan. Pelajar yang terpilih, diminta untuk membentangkan idea penulisan mereka.

Selain MK Riza, program ini turut disertai oleh Cik Anis Faqihah Mohd Ramli dan Cik Nur Atiqah Hassan, editor daripada ITBM yang berkongsi tentang panduan berkarya dan peluang serta ruang bagi penulis cilik untuk menghantar karya.

Setiap peserta yang mengikuti bengkel ini dikehendaki menghasilkan sebuah cerpen bertemakan budaya negeri Perak seperti seni budaya, seni bina tradisional dan bersejarah, alam dan kawasan rekreasi yang menarik, masakan/makanan warisan, acara perayaan dan cerita lipur lara.  Cerpen yang melepasi tapisan penilaian akan dibukukan oleh ITBM.

Buku berjudul Semanis Jala Mas yang menghimpunkan cerpen daripada peserta bengkel sebelum ini.

Setakat ini, “Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Cilik” telah berlangsung di Kelantan, Putrajaya, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka. Dua buah buku hasil karya peserta berjudul Semanis Jala Mas dan Warna-warni Kota Pintar sudah diterbitkan oleh ITBM.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.