29 Januari 2023, 07:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Persatuan Karyawan Perak melalui kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh (IPG) telah berjaya menganjurkan “Bengkel Bimbingan Menghasilkan Manuskrip Buku Kanak-kanak dan Novel Remaja” pada 28 Januari 2023, bertempat di Bilik Kuliah Seri Siantan, IPG Kampus Ipoh, semalam.

Bengkel Bimbingan Manuskrip ini melibatkan 20 orang peserta yang sebahagiannya terdiri daripada pelajar dan pensyarah IPG dan ahli Karyawan Perak. Pelibatan mereka dalam bengkel ini merupakan inisiatif daripada Persatuan Karyawan Perak untuk mencungkil bakat penulis pemula yang memerlukan pelantar dan peluang untuk berkarya buat pertama kalinya.

Bengkel Bimbingan Manuskrip Buku Kanak-kanak oleh Norazimah Abu Bakar.

Bengkel Novel Remaja dan Penulisan Kanak-kanak ini terbahagi kepada dua kelas yang berlainan, yang mana setiap kelas terdiri daripada 10 orang peserta. Bengkel Bimbingan Novel Remaja dikendalikan oleh penulis novel tempatan, iaitu Amer Hmzah L. Kadir. Bengkel Bimbingan Novel Remaja ini lebih menekankan daripada aspek pembinaan naratif dan pemilihan watak yang tepat untuk bacaan remaja.

Manakala, Bengkel Bimbingan Kanak-kanak pula dikendalikan oleh Norazimah Abu Bakar, penyair dan penulis buku kanak-kanak GAPENA dan Faziah Sulaiman, penulis buku kanak-kanak dan Munsyi Dewan (Sastera) DBP. Bengkel ini memberikan fokus kepada kreativiti peserta dalam menghasilkan cerita rakyat yang diolah agar bersesuaian buat bacaan kanak-kanak.

Amer Hmzah L. Kadir berkongsi tentang pemilihan watak yang tepat untuk bacaan remaja.

Presiden Persatuan Karyawan Perak, YBrs. Dr. Zabidin Haji Ismail turut berkongsi apabila ditanya, apakah hala tuju bengkel bimbingan ini selepas tamat? Kongsi beliau,

Ini merupakan usaha berterusan yang tidak akan berhenti selepas sahaja bengkel ini tamat. Kami mahu peserta yang menyertai bengkel bimbingan ini berjaya menerbitkan karya pertama mereka melalui bengkel bimbingan anjuran kami, baik secara persendirian mahupun melalui rumah penerbitan yang sedia ada.

Usaha murni melalui kerjasama dua pihak ini dilihat tidak sekadar membuka ruang dan peluang buat penulis pemula, tetapi juga memperlihatkan bahawasanya masih ada penulis berbakat yang tersisih kerana tiada pendedahan dan saluran yang tepat untuk menggilap kemahiran mereka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.