28 Januari 2023, 08:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Dilihat sebagai calon yang signifikan dalam mencetuskan gerakan sastera di tanah air melalui usahanya menerbitkan jurnal seni budaya Svara secara konsisten bersama-sama beberapa orang yang sealiran pemikiran dan perjuangan dalam bidang sastera, pemegang kepada nama pena Hafiz Hamzah ini telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pejuang Sastera bagi Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) ke-7 tahun 2022.

Hafiz Hamzah telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pejuang Sastera bagi HSDR ke-7 tahun 2022.

HSDR pada tahun ini telah berlangsung pada 27 Januari 2022 di Galasa Caldwell, Ipoh. Majlis ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Yang Berbahagia Encik Khairudin Abu Hanipah bagi mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad. HSDR meliputi 11 kategori yang melibatkan kesemua genre penulisan. Daripada 11 kategori yang diwujudkan, empat daripadanya merupakan anugerah utama yang dibuka untuk pencalonan.

Satu daripada empat anugerah utama yang ada, merupakan Anugerah Pejuang Sastera yang dirangkul oleh satu-satunya penulis muda Hafiz Hamzah dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15 000, piala iringan dan watikah penghormatan daripada Kerajaan Negeri Perak.

Kongsi Hafiz Hamzah selepas dinobatkan sebagai Pejuang Sastera bagi HSDR 2022 kali ini, penghargaan ini bukanlah satu titik untuk beliau berasa puas dengan hasil kerjanya. Baginya, untuk bergerak dalam bidang ini segala keterbatasan dan halangan yang ada, jangan dijadikan sebagai alasan atau penghalang untuk tidak berkarya. Apabila ditanya tentang kriteria yang melayakkan dirinya dipilih sebagai Pejuang Sastera bagi HSDR ke-7, ujar beliau,

Saya fikir, mungkin Svara yang memberikan kesan lebih meluas dalam pemilihan ini berbanding dengan buku sendiri. Untuk Svara sendiri, saya merancang untuk lakukan lebih banyak projek dan saya cuba untuk usahakan yang lebih baik daripada sebelum ini. Namun, saya tidak akan memaksa diri untuk melakukannya kerana saya lebih senang mengikut alir. Jika ada, ada. Jika tidak, kita bertenang.

Tambahnya lagi,

Sebagai golongan muda yang berkarya, mereka perlu berani dan ghairah terhadap sastera dan bahasa itu sendiri. Kejujuran merupakan elemen penting yang perlu ada dalam dunia sastera masa ini. Selain itu, penulis muda harus sentiasa berfikiran secara kritis!

Demi memenuhi iltizam dan kebaharuan yang dicetuskan dalam menyemarakkan gerakan sastera negeri dan tanah air, maka ahli panel penilai mengesahkan bahawa penulis muda yang lebih mesra dikenali sebagai Hafiz Hamzah layak dinobatkan sebagai tokoh Pejuang Sastera Negeri Perak tahun 2022.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.