28 Januari 2023, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) merupakan pengiktirafan yang tertinggi peringkat negeri Perak kepada penulis Perak yang berkarya demi kelangsungan sastera dan persuratan  di negeri tersebut. Pengiktirafan ini merupakan kali ketujuh yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Majlis ini telah berlangsung pada 27 Januari 2023, bertempat di Galasa Caldwell, Ipoh pada pukul 8.00 malam.

Sebagai rekod, HSDR merupakan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Perak dalam memartabatkan karya yang bermutu tinggi yang dihasilkan oleh para penulis yang berasal dari negeri Perak atau bermastautin di negeri Perak sekurang-kurangnya lima tahun semasa karyanya dipilih. Sebanyak 11 kategori menjadi rebutan para penulis, selain empat kategori utama.

Bagi kategori “Rencana Sastera”, dua rencana yang telah disiarkan dalam majalah Tunas Cipta telah dipilih memenangi kategori tersebut. Rencana tulisan Dr. Hani Salwah Yaakup yang bertajuk “Komunikasi Kebiasaan Baharu dalam Kalangan Penulis Muda” dan Salina Ibrahim dengan rencana yang berjudul “Belajar Menulis Ibarat Gelas yang Tidak Pernah Penuh” telah mendapat kepercayaan daripada pihak juri untuk diangkat sebagai pemenang kategori rencana.

Penilaian kategori rencana dilakukan berdasarkan keaslian karya, struktur penulisan yang jelas dan tersusun, idea yang baharu, paparan fakta yang tepat, huraian yang kritis serta penghujahan yang bernas dengan gaya bahasa yang bersesuaian.

Dua rencana yang memenangi kategori “Rencana Sastera” tersebut telah diterbitkan oleh majalah Tunas Cipta pada tahun 2019 dan 2021. Secara tidak langsung, kemenangan  ini membuktikan keaslian dan kepakaran dua penulis wanita ini dalam merencana karya.

Dr. Hani Salwa Yaakup memenangi kategori “Rencana Sastera” dan “Puisi Eceran”.

Dr. Hani Salwa Yaakup turut berkongsi rasa syukur dan gembira terhadap kemenangan yang dirangkul untuk kategori “Rencana Sastera” dan “Puisi Eceran” malam semalam. Kongsi beliau,

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tunas Cipta yang memberikan peluang kepada saya untuk artikel ini diterbitkan atas permintaan editor. Saya amat berterima kasih dan ingin melahirkan kebanggaan kerana ini merupakan satu pencapaian yang baik untuk majalah Tunas Cipta.

Salina Ibrahim memenangi kategori “Rencana Sastera” melalui rencana yang berjudul “Belajar Menulis Ibarat Gelas yang Tidak Pernah Penuh” yang diterbitkan dalam majalah Tunas Cipta tahun 2019.

Salina Ibrahim yang memenangi lima anugerah dalam HSDR menyatakan rasa syukur kerana rencana tulisannya dipilih oleh juri sebagai pemenang kategori “Rencana Sastera”.

Setiap kali menulis, perkara utama yang difikirkan untuk disampaikan dengan cara terbaik adalah buah fikiran. Langsung tak terfikir apa-apa selepas terbit, jika ada peluang dicalonkan untuk apa-apa anugerah, saya kemukakan sahaja jika rasa layak. Sekadar ingin penilai baca dan teliti, juga memeriahkan anugerah. Jika menang, itu bonus.

Pencapaian dua penulis berbakat besar ini telah membuktikan kemampuan Tunas Cipta dalam melahirkan karya penulisan yang bermutu tinggi seiring dengan majalah sastera yang lain. Sekali gus, perkara ini memberikan motivasi dan rasa percaya kepada penulis muda dan pemula untuk mempercayai kemampuan Tunas Cipta dalam melahirkan penulis serba boleh dalam menghasilkan pelbagai genre penulisan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.