Oleh Nasir Hamid
26 Januari 2023, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Kunjungan hormat DBP Cawangan Sarawak yang diketuai oleh Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai kepada Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Tupong, iaitu Yang Berhormat Fazzrudin Haji Abdul Rahman. 

Kuching – Pada hari ini, 26 Januari 2023, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Setiausaha Politik Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Tupong, iaitu Yang Berhormat (YB) Fazzrudin Haji Abdul Rahman di Pusat Khidmat DUN Tupong, Jalan Astana Kuching.

Wakil DBP Cawangan Sarawak yang turut hadir ialah Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Timbalan Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Encik Ja’afar Haji Hamdan, Pemangku Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa dan Sastera, Encik Abdul Rasid Haji Subet, Perancang Bahasa, Cik Stephanie Lenya Chaong, Puan Hajijah Haji Mainol dan Encik Nasir Hamid.

Dalam pertemuan itu, Abang Haliman memaklumkan tentang beberapa program yang bakal dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sarawak pada tahun ini. Antara program yang telah dirancang ialah Anugerah Sastera Negeri Sarawak dan Syarahan Pejuang Bahasa 152.

YB Fazrudin memberikan penerangan kepada ahli rombongan DBP Cawangan Sarawak.

Di samping itu itu, beliau turut menjelaskan bahawa DBP Cawangan Sarawak akan mengadakan program bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-60 Sarawak Merdeka dalam Malaysia. Selain itu, program yang akan diadakan pada masa terdekat ialah Sayembara Pidato Perpaduan yang dianjurkan melalui kerjasama Unit Komunikasi Awam Swasta (UKAS).

Dari segi penerbitan pula, Abang Haliman memberitahu, DBP Cawangan Sarawak sedang mengusahakan penerbitan khas beberapa buah buku melalui dana sumbangan daripada kerajaan Sarawak dengan memfokuskan penyelidikan dalam bidang kearifan tempatan di wilayah ini. Antara lain yang dibincangkan termasuklah hal-hal kebahasaan. Menurut Abang Haliman,

DBP bakal menerbitkan Kamus Melayu Sarawak pada tahun ini. Penerbitan kamus ini merupakan hasil penyelidikan bahasa sukuan yang dilakukan secara berterusan oleh DBP Cawangan Sarawak.

YB Fazzrudin mencadangkan agar DBP Cawangan Sarawak menganjurkan pertandingan bahas. Penganjuran ini penting untuk mencungkil bakat golongan remaja di DUN Tupong dalam aktiviti berbahas. Selain itu, beliau menyarankan agar DBP Cawangan Sarawak bekerjasama dengan Pusat Khidmat DUN Tupong dalam menganjurkan pertandingan bahas. Untuk permulaan, beliau menetapkan supaya pertandingan bahas diadakan dengan melibatkan empat buah sekolah yang terpilih di DUN Tupong.

Selaku Pengerusi Badan Keluarga DBP Cawangan Sarawak, Encik Nasir Hamid mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada YB Fazzrudin kerana sentiasa memberikan sokongan terhadap program yang dilaksanakan oleh Badan Keluarga DBP Cawangan Sarawak melalui sumbangan dana kepada persatuan tersebut.

Mengakhiri pertemuan itu, Abang Haliman memaklumkan bahawa DBP Cawangan Sarawak akan terus menyokong usaha kerajaan negeri dalam memperkukuhkan perpaduan masyarakat Bumi Kenyalang melalui kegiatan bahasa dan sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.