25 Januari 2023, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sebanyak 40 orang pelajar UKM menghadiri “Taklimat Majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa” dalam pertemuan bersama-sama sidang editor Tunas Cipta dan Dewan Siswa.

Kuala Lumpur – Program “Taklimat Majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa” kepada pelajar Kursus Penulisan Kreatif, Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah diadakan pada hari ini, 25 Januari 2023, bertempat di Sanggar Tun Sri Lanang, Aras 31, Menara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Program tersebut dihadiri oleh Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat, Ketua Kluster Warisan Melayu, UKM, YBrs. Profesor Madya Dr. Mawar Shafei, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, YBrs. Che Abdullah Che Ya, serta 40 orang pelajar dari UKM.

Majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa merupakan medan yang sangat tepat dan sesuai untuk penulis muda memulakan perjalanan mereka sebagai penulis karya kreatif. Selain itu, penerbitan kedua-dua majalah ini membuka peluang seluas-luasnya kepada penulis yang baru hendak berkarya selain penulis yang memang sudah ada karya tetapi tidak tahu, atau dalam kebuntuan memikirkan medium untuk berkongsi karya mereka dengan khalayak pembaca.

Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat merasmikan program “Taklimat Penerbitan Majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa“.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat menyatakan:

Berkaryalah dengan Tunas Cipta dan Dewan Siswa kerana majalah ini merupakan ruang yang sangat sesuai untuk berkongsi karya selain sebagai jalan perintis untuk menjadi penulis yang sudah teruji karyanya melalui penilaian editor majalah.

Pada masa ini, penulis muda menyiarkan karya dalam media sosial seperti Facebook dan Instagram kerana mahu karya mereka dibaca oleh khalayak. Mereka juga akan berasa teruja apabila karyanya mendapat banyak “tanda suka” daripada pengguna media sosial. Dalam hal ini, menurut Tuan Haji Razali:

Sesiapa sahaja boleh berkongsi karyanya dalam Facebook tanpa perlu dinilai oleh pakar atau tanpa perlu menunggu karyanya dipilih oleh editor untuk disiarkan kepada khalayak. Namun demikian, penulis harus menyedari bahawa terdapat kekurangan atau kelemahan jika menyiarkan karya dalam media sosial. Masalah besar yang penulis perlu tahu jika menyiarkan karya dalam media sosial ialah soal peniruan karya atau isu ciplak.

Editor majalah Dewan Siswa, Puan Siti Irni Yuslinda turut berkongsi tiga produk DBP yang menjadi  rujukan utama masyarakat, iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), DBPNiaga dan JendelaDBP.
Taklimat Majalah Tunas Cipta oleh Puan Siti Noorisa Abdul Khlil yang menerangkan maklumat tentang panduan penghantaran karya untuk diterbitkan dalam majalah DBP, khususnya majalah Tunas Cipta.

Program ini diharapkan menjadi laluan kepada penulis muda untuk berkarya dengan majalah Tunas Cipta dan Dewan Siswa kerana apabila karya mereka berjaya tersiar dalam dua majalah berkenaan, karya itu akan diulas oleh pakar atau penulis prolifik. Berdasarkan ulasan tersebut, penulis mengetahui kelemahan, kekurangan, kekuatan dan kelebihan karya yang dihasilkan. Ulasan itu juga dapat membantu penulis muda untuk menghasilkan karya yang lebih baik daripada karya sebelumnya.

Sesi soal jawab daripada pelajar UKM kepada sidang editor majalah DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.