20 Januari 2023, 11:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pulau Pinang  –  Bengkel Pemurnian Manuskrip Cerita Kanak-kanak yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) telah menempa sejarahnya sendiri apabila berjaya menghasilkan sebanyak 22 manuskrip. Bengkel ini merupakan lanjutan daripada bengkel fasa pertama yang diadakan di Sungai Petani, Kedah pada tahun lepas. Penulis yang telah banyak menghasilkan karya, termasuk buku cerita kanak-kanak, Dr. Husairi Hussin atau nama penanya Putraery telah membimbing peserta seramai 25 orang yang kebanyakannya terdiri daripada guru yang datang dari Kedah, Pulau Pinang dan Pahang.

Dalam ucapan pembukaan sempena bengkel yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 18 Januari hingga 19 Januari 2023, Pengarah DBPWU, Puan Nurul Julia Alani Henry mengucapkan terima kasih atas kehadiran para penulis yang sebahagiannya datang dari jauh semata-mata mahu menimba ilmu dan mengasah bakat tentang penghasilkan karya untuk kanak-kanak. Bengkel yang turut disertai oleh dua orang pelukis ilustrasi turut membantu penulis melengkapkan manuskrip cerita kanak-kanak yang kebiasaannya mengandungi teks dan ilustrasi.

Tuan Haji Razali Che Mat menegaskan bahawa kerjasama antara editor dengan penulis amat diperlukan dalam menghasilkan karya yang bermutu.

Majlis penutupan bengkel ini cukup bermakna kerana disempurnakan oleh Pengarah Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat. Dalam ucapannya, Tuan Haji Razali Che Mat menyatakan,

Idea dan pemikiran merupakan dua elemen yang amat diperlukan dalam menghasilkan karya yang terbaik.

Tambah beliau lagi,

Ilmu yang dimiliki oleh seseorang individu, terutama penulis merupakan aset penting yang sangat membantu penulis untuk menghasilkan karya yang bermutu dan menarik. Setiap penulis perlu mempunyai fokus dan kehendak sebelum menghasilkan karya kerana kedua-dua faktor ini amat penting dalam bidang penulisan. Dengan adanya gabungan faktor tersebut, karya yang dihasilkan itu bermutu malah menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh editor.

Selaku Pengarah Penerbitan, beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara editor dengan penulis juga amat diperlukan dalam menghasilkan karya yang bermutu kerana karya yang terbaik itu dapat memberikan keyakinan dan semangat untuk penulis menyempurnakan tugas sebagai seorang penulis yang bertanggungjawab.

Perkara yang paling penting, penulis juga perlu bekerjasama dengan DBP dengan membeli dan menjual buku-buku karya mereka. Jangan hanya mengharapkan DBP sahaja yang menjual buku mereka. Sekiranya buku-buku itu habis dijual dan dicetak semua, penulis akan mendapat royalti daripada DBP.

Simbolik penyerahan 22 manuskrip yang berjaya dilengkapkan dalam bengkel ini oleh Ketua Editor BKR, Encik Armin Azahari kepada Pengarah Jabatan Penerbitan, Tuan Haji Razali Che Mat.

Bengkel Pemurnian Manuskrip Cerita Kanak-kanak yang diterajui oleh Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR), DBP ini merupakan anjuran bersama dengan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan DBP Wilayah Utara. Dalam majlis yang penuh bermakna ini, Ketua Editor BKR, Encik Armin Azahari  turut menyerahkan 22 manuskrip yang berjaya dilengkapkan dalam bengkel ini kepada Tuan Haji Razali. Yang turut hadir dalam majlis penutupan bengkel ialah Timbalan Pengarah DBPWU, Encik E Pian Pro Pol dan Ketua Unit Penerbitan DBPWU, Encik Zainal Abidin Mat Zin.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.