16 Januari 2023, 08:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sintok – “Program Sembang Santai Modal Insan dalam Karya Kreatif” anjuran Unit Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah diadakan pada 15 Januari 2023. Perkongsian ini disampaikan oleh penulis skrip tempatan, Dr. Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin yang juga merupakan pensyarah sastera di Universiti Sains Malaysia.

Perkongsian oleh Dr. Mohd Shahremy Ikmal Shahbudin berkenaan modal insan dalam karya kreatif.

Sebanyak 32 orang pelajar program Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif berpeluang menyertai program tersebut. Sembang Santai ini memberikan penekanan terhadap isu pembangunan modal insan melalui karya kreatif sebagai peluang kepada generasi muda merekayasa industri kreatif tanah air pada tahap yang lebih tinggi.

Tumpuan utama program ini adalah untuk memberikan peluang kepada mahasiswa agar terlibat secara langsung dalam dunia penulisan kreatif seperti penulisan skrip bagi memasuki pasaran stesen televisyen tempatan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Media Prima yang mempunyai dasar tersendiri dalam memasarkan penulisan skrip. Selain itu, skrip yang dihasilkan perlulah menepati kriteria penonton seiring dengan jaminan terhadap rating sesebuah stesen penyiaran.

Sesi sembang santai bersama-sama pelajar Ijazah Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif.

Tanpa sedar, penelitian mengenai tajuk modal insan juga berjaya membuka mata mahasiswa terhadap kandungan sesebuah skrip yang mereka hasilkan. Falsafah Pendidikan Kebangsaan turut menggariskan mengenai kelestarian dalam membina ekonomi masyarakat tempatan. Bidang penulisan skrip inilah yang menjadi wadah kepada pembinaan modal insan yang sejahtera dalam menolak kebejatan ekonomi negara.

Hasil daripada perkongsian Dr. Mohd Shahremy Shahbudin ini diharapkan berjaya memberikan motivasi kepada mahasiswa dalam menghasilkan skrip dan naskhah yang lebih berkualiti pada masa akan datang, sekali gus, membuka peluang kepada penulis muda tanah air untuk menceburkan diri dalam bidang industri kreatif tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.