9 Januari 2023, 09:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan lagu puisi oleh bakat muda, Ainin Sofea berjaya menghiburkan hadirin dalam Majlis pelancaran buku Antologi Mengukir Nama di Atas Peta. Majlis pelancaran yang diadakan di The Grand Campbell Hotel, Kuala Lumpur ini telah disempurnakan oleh Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan.

Sekitar Majlis Pelancaran Buku Antologi Mengukir Nama di Atas Peta.

Dalam majlis tersebut, Ainin Sofea telah mendendangkan dua buah lagu puisi yang bertajuk “Bukan Mimpi” dan “Kalau Kau Hadir” sebagai persembahan pembukaan bersama dengan kumpulan Pejuang Hartanah.

Ainin Sofea bersama dengan kumpulan Pejuang Hartanah mendendangkan dua buah lagu puisi.

Ainin Sofea berkongsi apabila ditanya tentang siapakah yang mendorong minatnya terhadap lagu puisi, kongsi Ainin Sofea,

Saya meminati lagu puisi kerana puisi mempunyai kata-kata yang puitis dan terkandung nilai estetika yang tersendiri. Keistimewaan lagu puisi juga terletak pada rangkapnya yang mempunyai rima dan apabila puisi ini digubah sebagai lagu, penyampaiannya menjadi lebih indah.

Meletakkan Kopratasa sebagai idola dalam penghasilan lagu puisi, Ainin Sofea berhasrat untuk mengembangkan kumpulan puisi beliau melalui karya yang berkualiti sekali gus, membuka ruang untuknya berkarya dengan puisi ciptaannya sendiri. Tambahnya lagi,

Pada masa ini, Ainin bergerak secara bebas dan jika diberi tawaran untuk berkongsi bakat Ainin kepada lebih ramai orang, Ainin bersedia untuk menerimanya.

Walaupun pelibatan Ainin Sofea dalam persembahan lagu puisi ini masih baharu, namun keberanian yang ditonjolkan oleh bakat baharu ini menjadi kelangsungan kepada bakat yang sedia ada.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.