7 Januari 2023, 09:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) melalui kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Majlis Perbadanan Buku Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Malam Baca Puisi PENA: Aspirasi Orang Muda yang bertempat di Rumah Pena, Kuala Lumpur pada 6 Januari 2023. Turut hadir memeriahkan malam baca puisi ini ialah U-Wei Haji Saari dan Sabri Yunus sebagai tetamu khas.

Mengangkat tema “Tika Hujan Datang, Biarlah Aku Pulang Kebasahan,” Malam Baca Puisi PENA pada kali ini menampilkan Petak Daud, penulis dan pemuisi muda sebagai ikon aspirasi orang muda yang tampil dengan dua buah lagu puisi ciptaan beliau sendiri. Lagu puisi tersebut diambil daripada buku Kumpulan Sajak Apa Maksud Pulang yang Sering Kau Ulang. Lagu puisi yang didendangkan oleh beliau banyak menyentuh berkenaan isu kemanusiaan dan kemasyarakatan.

Persembahan lagu puisi oleh Petak Daud yang diambil daripada buku Kumpulan Sajak Apa Maksud Pulang yang Sering Kau Ulang.

Menariknya tentang program ini, Malam Baca Puisi PENA: Aspirasi Anak Muda turut mengundang rumah penerbitan muda lain antaranya seperti Kolektif Ketepi, Penerbitan Langit dan Bilik Penyair. Inisiatif PENA untuk melibatkan pemuisi, penulis dan penerbit muda dalam program baca puisi seperti ini dilihat berjaya menarik minat anak muda untuk hadir dan menyokong program kebahasaan seperti ini.

Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara Malaysia, YBhg. Dato’ Anas Ahmad Zakie merasmikan program Malam Baca Puisi PENA: Aspirasi Anak Muda.

Selain program baca puisi, pada malam itu, PENA turut melancarkan buku Kata Ku Seman yang dirasmikan oleh Ketua Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-undang, Jabatan Peguam Negara Malaysia, iaitu YBhg. Dato’ Anas Ahmad Zakie.

Malam Baca Puisi PENA: Aspirasi Anak Muda ini merupakan program tahunan yang diadakan sepanjang penubuhan PENA sejak tahun 1961. Kembalinya PENA dengan program seperti ini secara tidak langsung telah membuka ruang dan peluang kepada penulis dan pemuisi muda untuk turut serta memperlihatkan bakat dan kemahiran mereka berpuisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.