30 Disember 2022, 10:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Oleh: Eshal Nuranis

Kuala Lumpur – Bertempat di Galeri Seni Halus, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) telah diadakan Majlis Perasmian dan Diskusi Ilmu Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu anjuran Fakulti Penulisan Kreatif, Filem dan Televisyen ASWARA. Program yang berlangsung pada 29 Disember 2022 ini telah dirasmikan oleh Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Sesi ramah mesra bersama dengan penulis Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu ini menampilkan Dr. Rosminah Tahir sebagai penulis kata pengantar. Selain itu, turut berkongsi pengalaman dan proses kreatif mereka dalam program ini ialah penulis buku itu sendiri seperti Azielahaneem Idris, Fatema Ksani, SN Hayani dan Ain Hidayah Ahmad Bohari.

Barisan penulis Azielahaneem Idris, Fatema Ksani (Penolong Editor majalah Tunas Cipta, Dewan Bahasa dan Pustaka), SN Hayani dan Ain Hidayah Ahmad Bohari bersama Dr. Rosminah Tahir sebagai penulis kata pengantar, berkongsi tentang Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu

Dr. Rosminah Tahir yang juga aktivis teater menyifatkan bahawa teater muzikal merupakan sebuah pementasan yang menghiburkan dan mendapat permintaan yang banyak dalam kalangan penggemar teater. Menurut beliau,

Dalam konteks pada masa ini dan sepuluh tahun ke belakang, skrip teater muzikal menjadi keutamaan kepada penggiat teater untuk melakukan pementasan. Jika hanya bergantung pada ucapan dialog, pementasan mungkin akan sedikit membosankan kerana jarak pandang penonton dan pelakon terbatas. Teater muzikal yang menggabungkan aspek nyanyian, tarian, muzik dan lagu akan lebih menghiburkan dan mampu menampung kekurangan itu.

“Mendam Rindu” merupakan judul karya SN Hayani yang diangkat sebagai judul kumpulan drama pentas ini. Kongsi beliau, “Mendam Rindu” merupakan sebuah karya interteks yang diambil daripada kisah tradisional Dayang Senandung. Menurutnya lagi, walaupun proses menghasilkan sebuah karya interteks ini agak mudah, namun penulisannya memerlukan inovasi idea yang lebih segar dan menarik.

Majlis Pelancaran Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu dirasmikan oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan

Ain Hidayah Ahmad Bohari pula memilih untuk mengadaptasi karya “Hikayat Anggun Che’ Tunggal”, iaitu sebuah cerita lisan karya Raja Haji Yahya. Menurutnya, penghasilan karya adaptasi bukanlah perkara yang mudah kerana beliau perlu mengekalkan fakta dan elemen utama dalam karya tradisional asal ke naskhah drama pentas.

Menariknya, keempat-empat penulis Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu ini berani menyahut cabaran untuk menerbitkan karya mereka dalam tempoh tiga bulan dengan bimbingan daripada para pensyarah. Menurut Azielahaneem, beliau bimbang jika karyanya tidak mendapat sambutan namun beliau berfikir untuk memulakan langkah pertama sebagai proses menempa nama dalam industri seni kreatif.

Majlis Pelancaran Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu turut dihadiri oleh penggiat teater dan penulis

Istimewanya, karya dalam Antologi Drama Muzikal Mendam Rindu ini ditulis oleh penulis wanita kesemuanya. Semasa sesi soal jawab, antara soalan yang penonton bertanya kepada penulis ialah berkenaan dengan pengaruh feminis yang terdapat dalam karya mereka. Fatema Ksani menjawab persoalan berikut menerusi karyanya “Tia dan Kio”. Menurutnya,

Minyak disimbolkan sebagai lelaki dan air pula disimbolkan sebagai wanita yang ditonjolkan dalam naskhah tersebut. Namun simbol itu berlaku di bawah sedar saya sebagai penulis dan tiada niat untuk meletakkan karya ini sebagai lambang feminis.Bahkan, tidak juga mempunyai kaitan dengan pengaruh jantina.

Dr. Rosminah Tahir berharap agar para pelajar dapat berkolaborasi bersama dengan semua fakulti di ASWARA untuk mewujudkan sebuah produksi yang berkualiti. Hal ini disebabkan, kolaborasi ini bakal memberikan jalan penyelesaian terhadap masalah, menyediakan wadah inovasi dan memperlihatkan gambaran yang lebih holistik mengenai gambaran yang lebih besar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.