29 Disember 2022, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Barisan penulis buku kanak-kanak yang bertemakan kelestariaan alam sekitar.

Minden – Persatuan Pelajar RCE Sejahtera Youth USM, Pusat Kepakaran Serantau (RCE Penang), Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang baru-baru ini telah berjaya menghasilkan penerbitan buku cerita kanak-kanak bertemakan kelestarian alam sekitar. Penerbitan buku cerita kanak-kanak ini telah dihasilkan oleh 11 orang pelajar USM melalui bimbingan oleh Dr. Rohaya Abdullah dan Profesor Madya Dr. Aswati Hamzah, iaitu Felo Bersekutu Pusat Kepakaran Serantau (RCE Penang) dan pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) USM Pulau Pinang.

Buku cerita kanak-kanak yang bertemakan kelestarian alam sekitar ini bertujuan untuk memupuk kesedaran dan berperanan sebagai sumber rujukan kepada masyarakat tentang usaha menjaga alam sekitar. Selain itu, penerbitan lapan buah buku kanak-kanak ini turut dihasilkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Hasilnya, buku cerita kanak-kanak ini telah memperkenalkan konsep Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bermula pada peringkat kanak-kanak lagi.

Objektif utama penerbitan buku cerita kanak-kanak bertemakan kelestarian alam sekitar selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) yang diperkenalkan ketika Persidangan United Conference on Sustainable Development di Rio De Janeiro, Brazil pada tahun 2012. Maka itu, penerbitan buku cerita kanak-kanak berdasarkan SDGs telah menekankan Pendidikan Pembangunan Lestari (ESD), iaitu “Education for Sustainable” sebagai suatu proses untuk membangunkan keprihatinan, kemampuan, sikap dan nilai-nilai yang ada dalam diri kanak-kanak. Jelaslah bahawa penerbitan buku cerita kanak-kanak ini juga turut menumpukan SDG 4 (Pendidikan Berkualiti) dan SDG 14 (Kehidupan di Bawah Air).

11 buah buku kanak-kanak yang dihasilkan oleh pelajar Universiti Sains Malaysia dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Lapan buah buku cerita kanak-kanak yang diterbitkan dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris adalah seperti Hero Lufi, Cerita Kelestarian Kanak-kanak, Mia The Baby Whale, Orkid dan Rakan-rakannya, Telefon Pelangi Ajaib, The Life of Mangrove Trees, The Magical Kingdom dan Tora Si Tiram.

Secara keseluruhannya, penerbitan buku cerita kanak-kanak bertemakan kelestarian alam sekitar menampilkan cerita dan gaya bahasa yang mudah difahami oleh kanak-kanak. Diharapkan usaha murni yang dilakukan oleh Persatuan RCE Sejahtera Youth USM membudayakan amalan membaca dalam kalangan kanak-kanak, bakal meningkatkan kefahaman kanak-kanak tentang penggunaan sumber alam secara berhemah, memartabatkan keunggulan bahasa Melayu dan menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.