Oleh Adrianna Wahid
18 Disember 2022, 12:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pada 17 Disember 2022, bertempat di BoxKL, Kuala Lumpur, Kumandang Zine sekali lagi menganjurkan Lepak Akustik 05 yang dihadiri oleh bakat muda dalam bidang penulisan lirik dan muzik industri tanah air. Program ini menampilkan persembahan secara terbuka yang dilakukan sebanyak dua sesi, iaitu petang dan malam.

Siri Lepak Akustik 05, bertempat di BoxKL, Kuala Lumpur.

Objektif utama Lepak Akustik ini adalah bertujuan untuk menyatukan golongan anak watan yang berlainan latar belakang, tetapi berkongsi minat yang sama dalam bidang muzik walaupun berlainan genre. Lepak Akustik juga tiada penetapan genre yang khusus, sebaliknya setiap penghibur yang membuat persembahan diberi kebebasan untuk mempersembahkan genre yang pelbagai antaranya seperti lagu rakyat (folk country), rock, lagu puisi dan punk.

Yang menariknya, Lepak Akustik ini telah mengumpulkan 12 penggiat seni baharu antaranya Atilya Hilmy, HoneyBadgers, Aydrus, Harith Ariz, Abel Danker, Ameer Fahim, Piagam Band, RajaRatu, Megilism, Binnazri, Faculty Of Joy, dan Sara Cortez. Setiap persembahan daripada mereka ini mempunyai kelainan dan keunikan yang tersendiri. Dari segi penulisan lirik pula, karya mereka lebih memfokuskan pada isu masyarakat dan permasalahan hidup masyarakat di kota.

Piagam Band, Ameer Fahim dan BinNazri antara pemuzik yang memeriahkan Lepak Akustik 05 dengan mempersembahkan lagu ciptaan mereka sendiri.

RajaRatu merupakan antara kumpulan duo yang mempersembahkan lagu puisi ciptaan mereka yang membawa kelainan dari segi susunan lagu dan lirik. Antara lagu yang dipersembahkan RajaRatu adalah seperti “Bintang Senja”, “Geriak”, “Bina Waktu” dan “Anxiety”.

RajaRatu kumpulan duo berbakat besar dengan persembahan lagu puisi yang menyentuh perasaan penonton pada malam itu.

Golongan anak muda yang terlibat dalam Lepak Akustik 05 ini kebanyakannya terdiri daripada anak muda yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 27 tahun. Sebahagian daripada mereka juga merupakan pemuzik dan penulis bebas yang berkongsi minat dalam ruang yang sama.

Sofea Najihah Zulhelmi atau lebih dikenali sebagai Sofea, pemilik Kumandang Zine turut berkongsi antara faktor utama Siri Lepak Akustik ini terus diadakan sepanjang tahun 2022 adalah untuk memberikan ruang dan peluang kepada penulis dan pemuzik muda mencurahkan idea dan bakat dalam penciptaan lagu dan lirik. Katanya lagi,

 Saya mahukan keamanan dan harmoni. Saya mahu ruang yang sihat. Tidak kisah datang daripada latar belakang yang bagaimana atau dalam apa-apa bidang sekalipun. Saya ingin raikan sebanyak manusia yang berpotensi secara aman dan harmoni. Secara tak sedar, banyak ilmu baru dapat dipelajari yang berlainan bidang dan genre.

Siri Lepak Akustik 05 yang menjadi penutup bagi tahun 2022 kali ini berjaya menaikkan nama seniman jalanan serta mengakrabkan hubungan anak muda yang berlainan ideologi dan pemikiran di bawah satu bumbung yang sama. Kesatuan yang membawa kepada aman dan harmoni dalam sesebuah lagu tempatan yang berunsurkan kemasyarakatan ini, secara tidak sedar telah melahirkan kehidupan sosial yang sihat pada era kini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.