14 Disember 2022, 15:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja (BKR) telah menganjurkan program “Borak Buku dan Majlis Pelancaran: Siri Fantasi dan Siri Cinta Alam, Ilustrator Muda dalam Penghasilan Buku Kanak-kanak di Malaysia”. Program ini diadakan di Panggung Percubaan, Kampus Sultan Azlan Shah pada pagi tadi.

Dalam ucapan perasmian majlis tersebut, Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat menyatakan bahawa buku digital memainkan peranan penting dalam konteks pendidikan kanak-kanak kerana pelbagai elemen interaktiviti dapat ditonjolkan menerusi buku yang diterbitkan untuk memberikan kesan kepada pembaca. Jelas YBrs. Tuan Haji Razali:

Dalam konteks penerbitan, DBP terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan penerbit luar seperti penerbit swasta atau universiti. Hal ini disebabkan DBP sedang berusaha meningkatkan dua versi penghasilan buku, iaitu buku bercetak dan buku digital.

Tambah beliau lagi:

Tidak dapat dinafikan bahawa buku digital mempunyai pelbagai kelebihan kerana mengandungi unsur animasi dan daya tarikan yang baik buat kanak-kanak yang suka melihat lukisan bergerak, terutama mereka yang baru belajar membaca. Dalam memastikan usaha penerbitan buku digital direalisasikan, DBP telah bekerjasama dengan persatuan PeKOMIK. Usaha sama ini dilaksanakan kerana persatuan PeKOMIK mempunyai ilmu mengarang yang cukup luas untuk bersama-sama dengan DBP menerbitkan buku digital, malah buku ini juga akan diterbitkan dalam bentuk buku audio.

Di samping itu, Tuan Haji Razali juga mengatakan bahawa pihak DBP akan mengangkat penulis sebagai rakan niaga dalam usaha memastikan buku yang diterbitkan sampai kepada golongan sasarannya. Penulis yang berminat mempromosikan dan menjual buku yang diterbitkan oleh DBP menerusi program Pengarang Niaga akan mendapat diskaun yang istimewa daripada DBP. Beliau turut mempelawa tetamu yang hadir untuk berkarya kerana hasil daripada buku yang diterbitkan akan menimbulkan kepuasan kepada seseorang penulis dan pada masa yang sama memberikan manfaat kepada masyarakat.

Pengarah Penerbitan DBP, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat merasmikan program “Borak Buku dan Majlis Pelancaran: Siri Fantasi dan Siri Cinta Alam, Ilustrator Muda dalam Penghasilan Buku Kanak-kanak di Malaysia”.

Program borak buku yang berlangsung pada pagi tadi menampilkan tiga panel pembicara, iaitu Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FSKIK, YBrs. Ts. Dr. Ahmad Nizam Othman; pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), YBrs. Dr. Ariff Mohamad; dan pensyarah FSKIK, YBrs. Dr. Suraya Md Nasir. Ketiga-tiga ahli panel ini berkongsi perihal penghasilan naratif dalam buku Siri Fantasi dan Siri Cinta Alam dalam slot yang berlangsung selama sejam.

Moderator dan tiga ahli panel dalam slot borak buku.

Siri Fantasi dan Siri Cinta Alam merupakan buku bergambar hasil nukilan dua orang penulis, iaitu YBrs. Dr. Norzuraina Mohd Nor atau nama penanya, Ayudez Zuraina dan Encik Lee Hoi Yeh. Penerbitan buku ini turut dibantu oleh beberapa orang pelukis, antaranya termasuklah Muhammad Daniel Arif Abdullah, Amira Athirah Amri, Monica Vun Yi Jing, Nur Rabbiyatul Fatihah Azahari, Kamaliza, Khairul Azizi dan Nur Khairunnisa Herlizam. Yang istimewanya, buku dalam kedua-dua siri ini dilukis oleh pelajar UPSI.

Kulit hadapan untuk enam judul buku Siri Fantasi yang dilancarkan pagi ini.

Buku yang dilancarkan, iaitu enam judul Siri Cinta Alam merupakan buku yang menerapkan kesedaran dan memupuk perasaan cinta akan alam sekitar dalam kalangan kanak-kanak. Melalui pembacaan buku tersebut, kanak-kanak diberikan kesedaran tentang peri pentingnya usaha menjaga dan memulihara alam sekitar. Siri Fantasi yang juga melibatkan enam judul buku pula menampilkan plot penceritaan tentang watak-watak kanak-kanak yang berimaginasi dalam kerjaya yang diimpikan oleh mereka.

Kulit hadapan enam judul buku Siri Cinta Alam.
Sekitar majlis pelancaran buku Siri Fantasi dan Siri Cinta Alam.

Majlis yang berakhir pada pukul 11.30 pagi ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Mazuki Mohd Yasim, Pengerusi Majlis Pengarah Pusat Tanggungjawab JHEPA dan Encik Armin Azhari Saleh, Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.