Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSarikei – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak pada hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei dan Kelab Penggiat Sastera Sarikei (KAPESSA) sebagai langkah untuk mengeratkan hubungan strategik di kawasan tengah Sarawak dan memaklumkan tentang jalinan kerjasama yang dapat diusahakan pada tahun 2023.
Kunjungan yang diketuai oleh Encik Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah DBP Cawangan Sarawak turut disertai oleh Cik Stephanie Lenya Chaong, Ketua Unit Promosi dan Pengiktirafan, DBP Cawangan Sarawak. Rombongan DBP Cawangan Sarawak telah disambut mesra oleh Encik Lau Ngie Tung, Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei bersama-sama timbalan sektor pendidikan dan pengurusan PPD Sarikei.
Dalam pertemuan tersebut, pihak DBP Cawangan Sarawak telah menyatakan hasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan PPD Sarikei dalam melaksanakan program kebahasaan dan sastera, terutama dalam mencungkil dan mengembangkan bakat penulis baharu di bahagian Sarikei. Pihak DBP turut mencadangkan agar pelibatan guru dan pelajar dapat dipertingkatkan serta diberikan tumpuan agar dapat menarik minat mereka dalam bidang penghasilan karya yang berimpak tinggi.

Selain itu, pihak DBP Cawangan Sarawak turut berharap PPD Sarikei dapat membantu menguar-uarkan berkaitan dengan kegiatan yang dianjurkan oleh DBP Cawangan Sarawak ke sekolah.
Encik Lau Ngie Tung dalam ucapannya berkata,
Pihak PPD Sarikei tidak ada halangan untuk berkolaborasi dengan DBP Cawangan Sarawak dan melihat usaha ini sebagai satu langkah yang dapat memberikan impak kepada kemenjadian murid.
Dalam pertemuan tersebut juga, satu memorandum kerjasama telah ditandatangani antara pihak PPD Sarikei dengan DBP Cawangan Sarawak sebagai bentuk kerjasama bertulis selaras dengan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia dalam membentuk jalinan dan jaringan kerjasama antara agensi yang merupakan satu bentuk dokumen yang memberikan galakan terhadap penerokaan dan pembangunan potensi dalam pelaksanaan bahasa, sastera dan perkongsian ilmu.
Selesai kunjungan di PPD Sarikei, rombongan DBP Cawangan Sarawak kemudian mengadakan pertemuan dengan pihak KEPESSA yang telah dihadiri oleh Puan Radzemah Bolhassan, Pengerusi bersama-sama ahli-ahli KEPESSA.

KEPESSA merupakan sebuah pertubuhan yang bernaung di bawah DBP dan aktif dalam penghasilan karya sastera di bahagian Sarikei sejak tahun 2001. Selain itu, kelab ini juga banyak menjalankan kegiatan dan pada masa terdekat mereka akan terlibat dengan pementasan teater muzikal bertajuk “Jong Ukang”.
Dalam pertemuan tersebut, Encik Ja’afar Haji Hamdan telah menyatakan hasrat dan kesediaan DBP Cawangan Sarawak untuk bersinergi dengan KEPESSA dalam melaksanakan Minggu Karyawan Muda (MKM) pada bulan Mac tahun hadapan.

MKM dilaksanakan dengan tujuan untuk memantapkan penulisan dalam kalangan penulis muda dengan memberikan tumpuan kepada penulis daripada bahagian Betong, Sarikei dan Sibu. Maka itu, pihak KEPESSA diharap dapat membantu DBP Cawangan Sarawak mengenal pasti penulis muda yang dapat menyertai program tersebut kelak.
Puan Radzemah Bolhassan turut memaklumkan bahawa pihak KEPESSA sentiasa terbuka dan bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan DBP Cawangan Sarawak. Mereka turut berharap agar DBP Cawangan Sarawak akan terus memperbanyak kegiatan sastera serta memfokuskan pelibatan penulis baharu di Sarikei pada masa hadapan.
Semoga usaha yang dilakukan oleh DBP Cawangan Sarawak akan dapat memartabatkan dan menggalakkan kegiatan bahasa dan sastera dengan pelibatan agensi kerajaan dan pertubuhan di bahagian Sarikei.