Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangShah Alam – Pesta Buku Antarabangsa Selangor (PBAS) bakal melabuhkan tirainya pada 11 Disember 2022 ini. Bertempat di MBSA Convention Centre, PBAS yang berlangsung sejak 1 Disember 2022 yang lalu, mendapat sambutan yang hangat, terutama dalam kalangan pembaca muda.
Penerbitan buku dalam kalangan penulis muda sebenarnya berjaya menarik pembaca yang berusia antara 13 hingga 30 tahun. Kehadiran pembaca generasi muda ini dilihat berdasarkan bilangan buku penyembuhan atau lebih dikenali sebagai swacinta (self-love) yang menjadi trend semasa dalam industri perbukuan.
Jejak Tarbiah merupakan antara rumah penerbitan yang melahirkan banyak buku bersifat swacinta seperti Tentang Melepaskan (Hafizul Hafiz), Merayakan Luka (A. Shafiq), Perempuan dari Masa Lalu (Wafa Awla) dan Lalu Alam Mengirim Kaca (Akmal Arsat).

Kongsi Fadhrul Irwan, editor Jejak Tarbiah apabila ditanya mengapakah buku genre swacinta ini mendapat tempat di hati pembaca terutama pembaca muda, beliau berkata,
Generasi kini yang lahir dan hidup dengan pelantar media sosial seperti twitter, lebih memilih pembacaan yang ringkas dan telus. Buku berbentuk swacinta atau penyembuhan ini, biasanya luahan peribadi ringkas yang secara tidak langsung menjadikan pembaca muda berasa terkait dengan emosi penulis. Pembaca kini lebih memilih untuk merasai daripada berfikir.

Isu kesihatan mental pada era kini, bukanlah sesuatu yang tabo. Isu ini merupakan isu yang sudah berlegar sekian lama dalam kalangan masyarakat, tetapi sejak beberapa tahun ini buku bersifat penyembuhan menjadi permintaan dalam kalangan pembaca muda.
Fahdrul Irwan turut berkongsi pandangan tentang jangka hayat trend ini dalam industri pembukuan. Menurutnya,
Buku ini berkemungkinan akan bertahan dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang. Walau bagaimanapun, hal ini tidak bermakna buku sebegini akan terus hilang selepas tempoh itu kerana buku bersifat motivasi dan swacinta sentiasa ada dalam pasaran, cuma permintaan terhadap buku tersebut bergantung kepada kehendak pembaca pada masa itu.
Tambahnya lagi,
Untuk jangka masa yang lama, impak untuk buku bersifat ini tidak akan memberikan penyembuhan kepada pembaca, tetapi akan lebih menyuap pembaca untuk lebih rasa tersakiti. Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa permintaan terhadap buku seperti ini sememangnya mendapat permintaan yang tinggi daripada pembaca dalam lingkungan usia di bawah 30 tahun.