5 Disember 2022, 17:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ayat “Melangkah ke Hadapan Bersama Tradisi” dilaung-laungkan oleh pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sewaktu Majlis Istiadat Konvokesyen ke-17 yang diadakan pada 27 November 2022, di Matrade Exhibition and Convention Centre (MECC).

ASWARA pada tahun ini telah melahirkan banyak anak muda berbakat besar dalam pelbagai bidang seni seperti pelajar daripada Fakulti Seni Teater dan Persembahan, Fakulti Seni Tari, Fakulti Penulisan Kreatif, Filem dan Televisyen, Fakulti Animasi dan Multimedia, Fakulti Muzik dan Fakulti Pengurusan Seni ASWARA.

Istiadat Konvokesyen ASWARA ke-17 ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Hajah Saraya Arbi, Ketua Setiausaha, MOTAC. Seramai 320 orang graduan telah diraikan dalam majlis istiadat konvokesyen pada kali ini. Lima pelajar Ijazah Sarjana dan tiga pelajar Doktor Falsafah turut menerima penganugerahan dalam majlis tersebut.

Menariknya, majlis konvokesyen daripada ASWARA turut memasukkan motif pohon beringin yang cukup sinonim dengan institut seni itu. Motif pohon beringin pada cokmar istiadat konvokesyen ini adalah lambang kejayaan dalam Wayang Kulit. Makna ini diguna pakai sebagai simbol bahawa ilmu merupakan elemen yang paling bernilai dalam memayungi hidup seorang insan.

Susilawati Kamaruzzaman (dua dari kiri), Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Filem dan Televisyen bersama dengan graduan ASWARA.

Cukup dikenali sebagai institut pengajian tinggi yang bukan sahaja melahirkan anak seni berbakat besar, tetapi juga seorang insan yang kreatif dan kritis dalam kehidupan. Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif, Filem dan Televisyen, ASWARA, Susilawati Kamaruzzaman turut berkongsi pandangan dan harapan beliau apabila ditanya berkenaan graduan yang kini sudah bergelar alumni. Katanya,

ASWARA sudah terbang tinggi dengan melahirkan pemain industri yang sudah mencipta nama dalam bidang masing-masing. Saya mengharapkan agar segala ilmu dan akal budi yang sudah mekar tumbuh dalam diri mereka akan menjadikan mereka mampu terus melakarkan kejayaan.

Dengan slogan “Permata Warisan, Aspirasi Budaya,” ASWARA juga turut mengharapkan graduan mereka mampu bersaing dalam dunia industri dengan berbekalkan ilmu yang digarap sepanjang mengharung dunia pembelajaran di ASWARA sama ada melalui teori mahupun praktikal.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.