2 Disember 2022, 17:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Barisan pemenang Sayembara Menulis Cerpen yang diumumkan di laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kuala Lumpur – “Sayembara Menulis Cerpen” telah mengangkat karya oleh Nur Azshieldha Sahran atau lebih dikenali sebagai Shield Sahran melalui cerpen berjudul “Pasar Tamu Sunyi”.

“Sayembara Menulis Cerpen” yang mengangkat tema “Orang Kurang Upaya” merupakan sebuah pertandingan yang mengetengahkan cerpen terbaharu daripada penulis berbakat besar. Seramai tiga orang pemenang utama dan tiga orang penerima sagu hati dipilih oleh barisan hakim yang terdiri daripada Sasterawan Negara ke-15, Dato’ Rahman Shaari, Dr. Maskiah Masrom dan Nisah Haron.

Shield Sahran sebagai penghias kulit hadapan majalah Tunas Cipta.

Bagi penghias kulit hadapan majalah Tunas Cipta Bil.4 2021 ini, Shield melahirkan perasaan teruja dan bersyukur atas kemenangan karyanya.

Sudah semestinya saya berasa gembira dan bersyukur. Saya tak nafikan setiap kali menyertai apa-apa pertandingan sayembara, setiap penulis menginginkan karyanya dipilih sebagai pemenang. Maka, saya sering menganggap diri saya sebagai pemenang apabila saya berjaya menghasilkan sebuah karya untuk sesebuah pertandingan. Jadi apabila menerima berita baik seperti ini, tentulah rasa gembira saya itu lebih berganda.

Semasa menghubungi Shield melalui panggilan telefon, sidang editor Tunas Cipta bertanyakan tentang inspirasi di sebalik karya “Pasar Tamu Sunyi” kepada anak kelahiran Sarawak ini. Menurutnya,

Idea yang termuat dalam cerpen ‘Pasar Tamu Sunyi’ terhasil daripada kisah yang dipaparkan dalam laman sosial. Bagi saya, cerita tentang orang kelainan upaya tidak boleh hanya bersandarkan imaginasi penulis semata-mata. Sebaliknya, saya harus mengorek kisah tersebut daripada mereka yang mengalaminya sendiri.

Tambah Shield lagi,

Mungkin kisah dalam cerpen ‘Pasar Tamu Sunyi’ bukanlah seratus peratus benar. Namun, saya cuba memasukkan isu yang dihadapi oleh golongan tersebut, kebimbangan dan bagaimana mereka cuba beradaptasi serta menerima keistimewaan yang mereka miliki.

Sebagai penulis muda yang memulakan kerjaya sebagai penulis pada usia seawal 14 tahun, Shield Sahran sememangnya berbakat dan konsisten dalam menghasilkan karya kreatif yang berkualiti. Kemenangannya kali ini, sekali gus membuktikan bahawa beliau ialah penulis muda generasi kini yang bakal menjadi pelapis kepada penulis mapan kini.

Selain karya daripada Shield, “Sayembara Menulis Cerpen” ini mengiktiraf lima karya lain sebagai pemenang. Naib johan dimenangi oleh Nursuhada Sayuti melalui karya berjudul “Jahitan Jelujur Buat Cikgu”, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Mahizan Husain dengan karyanya berjudul “Debok”. Pemenang sagu hati pula dimenangi oleh Nasiruddin Hassan (“Kebun Mawar di Bulan”), Rohaidah Yon (“Rumah Takdir”) dan Hanna Sophia Hanafi (“Biar Sekuat Ibu”).

Sayembara anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan melalui kerjasama Komuniti Buku Karya Johor ini, secara tidak langsung memberikan ruang dan peluang kepada penulis mapan dan muda untuk mencipta nama dalam bidang persuratan tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.