30 November 2022, 21:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Mahasiswa daripada Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nilai – “Peneraju Seni Berbudaya” merupakan slogan utuh yang menjadi pegangan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk menjaga dan mengembangkan seni kepada generasi muda pada masa ini. Melalui kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, program Apresiasi Bahasa dan Sastera telah berlangsung pada 30 November 2022, bertempat di Pusat Kebudayaan USIM.

Ketua Unit Pusat Kebudayaan USIM, Rozihani Mohamad mengatakan bahawa program ini dianjurkan adalah bertujuan untuk memastikan bahasa Melayu dan sastera terus mendapat perhatian daripada generasi muda.  Lantaran itu, “Program Apresiasi Bahasa dan Sastera” ini dipecahkan kepada tiga bentuk program utama yang berlangsung dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

Ahli panel berkongsi tentang fungsi seni dalam kalangan masyarakat pada masa ini.

Pada sebelah pagi, “Forum: Seni Budaya Membentuk Keintelektualan Mahasiswa” telah menampilkan tiga ahli panel iaitu Ismail Ahmed, pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Dr. Rosdeen Suboh dan Kamarulzaman Taib  yang berkongsi perihal fungsi seni dalam kalangan masyarakat.

Dr. Rosdeen Suboh, pensyarah kanan di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Seni Kreatif  mengatakan bahawa,

Permasalahan yang berlaku dalam dunia seni adalah bagaimana produk seni ini mampu memberikan nilai atau faedah kepada masyarakat?

Tambah beliau lagi,

Ini merupakan tugas mahasiswa untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa ada faedah yang bakal mereka terima kesan daripada pembelajaran seni di universiti.

Kamarulzaman Taib, pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) pula berkata,

Seni itu peradaban, dan peradaban itu seni. Bagaimanakah cara kita mahu menilai seni adalah terpulang kepada hak masing-masing. Sama ada mahu mengambil seni itu secara positif atau sebaliknya.

Bengkel interaksi dua hala yang mengabungkan konsep teater interaktif.

Selain itu, menariknya, program ini turut mengadakan bengkel berkonsepkan teater interaktif yang membawa isu berkaitan dengan murtad dalam kalangan masyarakat. Mohammad Zafran, pengarah muda yang juga alumni UM dalam bidang Seni Kreatif turut berkongsi apabila beliau ditanya berkenaan dengan konsep lakonan interaktif yang diketengahkan olehnya.

Pada awalnya idea ini berpandukan lakonan monolog yang kemudiannya, dikembangkan menjadi bengkel komunikasi dua hala. Bengkel berbentuk teater ini, secara tidak langsung akan memberikan ruang kepada penonton untuk berdiskusi tentang jalan cerita yang bakal dipersembahkan kepada penonton. Pelibatannya tidak sahaja dalam proses pengarahan, tetapi beliau terlibat secara langsung dalam proses penulisan naskhah.

Apabila ditanya, apakah cara yang tepat agar generasi muda pada masa ini terus menghargai bahasa dan sastera? Mohammad Zafran menjawab,

Sebagai mahasiswa dalam bidang seni, cara paling mudah untuk mereka terus menghargai bahasa dan sastera adalah mereka harus terlibat dalam penulisan drama pentas. Pelibatan mereka dalam proses penulisan secara tidak langsung dapat mengajar mereka tentang penggunaan struktur ayat yang tepat dalam bahasa.

Teater “Bongkok” dipersembahkan oleh pelajar daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.
Monolog “Saksi” daripada pelajar Universiti Malaya.
Persembahan nyanyian daripada pelajar Universiti Sains Malaysia.

Program ini turut diisi dengan persembahan daripada pelajar USIM selaku tuan rumah, UM dan UKM. Pelibatan anak muda, baik dalam bidang seni mahupun sastera melalui program ini telah membuktikan bahawa generasi pada masa ini masih lagi menghargai seni dan budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.