25 November 2022, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

 

Barisan Ketua Editor DBP.

Bukit Mertajam – Program Tautan Tinta Penulis Utara 2022 yang berlangsung pada 24 November 2022 merupakan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Persatuan Penulis Negeri Pulau Pinang (2PNP). Secara keseluruhannya, Program Tautan Tinta ini memberikan peluang kepada penulis wilayah utara untuk berkongsi idea baharu bagi pelaksanaan kegiatan program pada masa akan datang serta membuka ruang kepada para penulis termasuklah penulis muda untuk mengemukakan pandangan bagi mencapai kesepakatan ke arah mengembangkan bahasa, sastera dan persuratan kebangsaan.

Silang pandang antara penulis utara dengan Ketua Editor DBP.

Majlis ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat mewakili Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran yang tidak dapat hadir bersama. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa pertemuan dengan penulis perlu diadakan bagi mendapatkan manuskrip. Manuskrip yang diperoleh perlu mempunyai hak cipta bagi mengelakkan karya itu mengalami masalah pada kemudian hari. Sesebuah manuskrip itu harus dipromosikan lebih awal bagi tujuan pemasaran. Beliau turut menyarankan DBPWU mengadakan perjumpaan dengan penulis Wilayah Utara secara kerap dalam merangka program dan mencari karya yang berkualiti.

Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Buku Sastera, Encik Mohd Azam Juhari dan Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja, Encik Armin Azhari Salleh sama-sama berkongsi maklumat berkaitan dengan bahagian masing-masing.

Dr. Rosmani Omar memaklumkan bahawa Bahagian Majalah DBP menangani 11 majalah bercetak, termasuklah majalah digital yang disiarkan melalui platform JendelaDBP. Tegas beliau,

JendelaDBP harus berfungsi sebagai medium mengantarabangsakan karya penulis. Maka itu, penulis amat digalakkan mengirimkan karya mereka untuk diterbitkan dalam medium tersebut. Misalnya, karya penulis muda akan disiarkan menerusi majalah digital Tunas Cipta.

Melalui perkongsian dengan Encik Mohd Azam pula, beliau berkongsi tentang terbitan 13 judul buku oleh penulis utara. Antara judulnya termasuklah Berkongsi Takdir, karya Hasan Baseri Budiman dan Luka Rindu, karya Zaidin Abadi. Menurutnya lagi, Bahagian Buku Sastera menerbitkan buku kreatif seperti novel dan cerpen dan karya bukan kreatif seperti buku ilmiah.

Pelbagai idea dan cadangan dicurahkan oleh penulis mahupun editor dalam sesi bersama-sama Ketua Editor.

Encik Armin, selaku Ketua Editor Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja mengatakan bahawa,

Saya telah berbincang dengan beberapa pihak bagi mengadakan projek perolehan manuskrip bagi meningkatkan hasil pengkaryaan. Bahagian Buku Kanak-kanak dan Remaja juga akan memperincikan setiap manuskrip yang bakal diterbitkan oleh DBP.

Dalam sesi soal jawab bersama-sama Ketua Editor, YBrs. Dr. Zaibidin daripada Persatuan Karyawan Perak mencadangkan, taraf penulisan kandungan dalam Dewan Sastera  direndahkan bagi memudahkan penulis muda membaca dan memahaminya. Beliau juga mencadangkan agar DBP mewujudkan majalah yang khusus bagi menyiarkan berita berkaitan dengan politik kerana isu politik merupakan sesuatu yang menarik untuk dibaca. Encik Kamaruddin daripada Persatuan Penulis Perlis pula berharap agar DBP memanfaatkan penggunaan teknologi digital tanpa meminggirkan pencetakan buku fizikal. 

Sesi silang pandangan antara Ketua Editor DBP dengan Penulis Wilayah Utara tersebut turut diserikan dengan penampilan penggiat sastera dalam kalangan golongan muda seperti monolog “Belenggu” oleh Emanual Adrian, pelajar dalam bidang drama dan teater dari Universiti Sains Malaysia di bawah arahan  pensyarahnya, Dr. Azrul Aziz Amirul. Lukman Hidayat bersama-sama Dr. Husairi daripada Angkatan Sasterawan Nasional Negeri Kedah (ASASI) juga menyentuh jiwa tetamu yang hadir dengan persembahan deklamasi sajak secara berduet berjudul “Sastera Orang Kita”. Selain sajak, peserta turut mendendangkan gurindam, satu daripada puisi tradisional yang harus terus diketengahkan kepada generasi kini.

Deklamasi puisi oleh Lukman Hidayat bersama-sama Dr. Husairi.
Persembahan gurindam oleh ahli persatuan yang hadir.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.