Oleh Nubailah Nasri
11 November 2022, 16:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kubu Bharu – Penulis muda, Mohd Nazrullah Abdul Aziz atau nama penanya Nazrul Aziz yang aktif berkarya dalam majalah Tunas Cipta dan eMajalah Tunas Cipta menerusi portal digital JendelaDBP.my telah menerima Anugerah Piala Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Teori Terbaik) untuk Program Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan (DPSK).

Nazrul Aziz.

Majlis tersebut diadakan pada 10 November 2022, di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor bersempena Majlis Perbarisan Pentauliahan Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan untuk ABPM Wilayah Tengah. Anugerah ini telah disampaikan oleh YBhg. Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Penganugerahan ini diberikan kepada Nazrul Aziz kerana beliau menunjukkan kecemerlangan sepanjang kursus berlangsung. Kursus tersebut telah bermula pada 21 Februari 2022 yang disertai oleh 37 orang Penguasa Bomba Gred KB41 dan 91 orang Penolong Penguasa Bomba Gred KB29. Sepanjang tempoh berkursus, Nazrul Aziz mempamerkan bakat penulisan beliau dengan menghasilkan beberapa buah berita berita yang berkaitan dengan aktiviti sastera yang dilangsungkan di akademi dan di jabatan bomba. Berita tersebut telah diterbitkan dalam eMajalah Tunas Cipta. Antara berita hasil tulisan beliau yang pernah tersiar adalah seperti “Rusyidi Zahari Juara Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah”, “KPKT dan Bomba Zahirkan Semangat Kemerdekaan Melalui Pantun” dan “Pegawai Kadet Bomba Mempamerkan Bakat Berpuisi”.

Antara penulisan Nazrul Aziz yang tersiar dalam eMajalah Tunas Cipta.

Selain itu, beliau turut menghasilkan beberapa puisi dan berjaya tersiar. Antaranya seperti sajak “Bergema di Padang Kawad Bomba” (eMajalah Tunas Cipta), “Pantun Berkait Teguh Bersama” (dalam ruangan “Seri Pusaka” eMajalah Tunas Cipta) dan puisi “Melewati Makam Itu” (majalah Tunas Cipta Bil 09/2022).

Pada majlis itu juga, sajak nukilan Nazrul Aziz yang berjudul “Janji Wira Merah” telah dideklamasikan oleh Penolong Penguasa Bomba, Rusyidi Zahari dengan diiringi persembahan khas oleh 39 orang pegawai kanan. Majlis Pentauliahan tersebut dihadiri oleh Yang Amat Setia Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak pengurusan tertinggi JBPM dan Pengarah Bomba Negeri. Selain perbarisan, turut memeriahkan atur cara adalah persembahan kebombaan dan juga pameran kebombaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.