Oleh Nazrul Aziz
11 November 2022, 15:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kubu Bharu – Bersempena dengan Majlis Perbarisan Pentauliahan Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan Siri 1/2022 dan Diploma Lanjutan Sains Kebombaan Siri 1/2022 Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, satu persembahan khas deklamasi sajak telah diadakan oleh pegawai kadet yang menjalani kursus berkenaan.

Majlis yang diadakan pada 10 November 2022 ini telah berlangsung di Padang Kawad Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah, Kuala Kubu Bharu, Selangor. Akademi ini merupakan salah satu daripada lima buah akademi bomba yang terdapat di Malaysia.

Rusyidi Zahari mendeklamasikan sajak yang bertajuk “Janji Wira Merah”.

Sajak berjudul “Janji Wira Merah” telah disampaikan dengan penuh bersemangat oleh Penolong Penguasa Bomba Rusyidi Zahari daripada kursus Diploma Lanjutan Sains Kebombaan (DLSK) sambil diiringi lapan orang pegawai kanan wanita dan 31 orang pegawai kanan lelaki yang melakukan gerak formasi kawad senyap. Rusyidi Zahari merupakan pemenang tempat pertama Sayembara Deklamasi Puisi Piala Komandan ABPM Wilayah Tengah Tahun 2022.

Sajak ini telah dinukilkan oleh Penguasa Bomba, Mohd Nazrullah bin Abdul Aziz daripada kursus Diploma Pascasiswazah Sains Kebombaan (DPSK). Lebih membanggakan, dalam majlis ini, beliau telah dianugerahkan dengan Anugerah Ketua Setiausaha (Teori Terbaik) bagi kursus DPSK.

Menurut penulis, sajak ini merupakan janji setiap Wira Merah dalam memberikan khidmat dan penyelamatan yang terbaik buat seluruh Keluarga Malaysia. Tanpa mengharap sebarang pujian dan balasan, setiap amanah dan tanggungjawab dipikul akan dilaksanakan dengan sehabis daya dan dengan bersungguh-sungguh.

Saudaraku,

Semarak julangan api yang hangat membara

Begitulah semangat juang kami yang berkobar-kobar

Demi selamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar

Tidak ada walau sekelumitpun niat di hati untuk mengundur diri

Tatkala menghadapi dugaan dan rintangan yang mendatang

Kami tempuhi dengan cekal dan tabah

Kami sentiasa siap sedia setiap masa.

Antara bait-bait sajak yang menggambarkan isi hati setiap Wira Merah yang memikul amanah untuk menyelamatkan nyawa, harta benda dan alam sekitar. Rangkap ini juga menurut penulis menunjukkan bahawa sebagai seorang Pegawai Bomba, mereka sentiasa bersiap sedia pada setiap masa dan tidak gentar dalam menghadapi sebarang dugaan dan cabaran tatkala hadir sebarang kes-kes kecemasan.

Kursus DPSK dan DLSK Siri 1/2022 ini melibatkan 129 orang pegawai kanan yang ditauliahkan sebagai Penguasa Bomba gred KB41 dan Penolong Penguasa Bomba gred KB29. Kursus yang mengambil masa selama sembilan bulan ini merupakan syarat wajib bagi pegawai lantikan baharu yang memasuki skim kebombaan sebelum disahkan jawatan.

Majlis Perbarisan Pentauliahan ini telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YBhg. Datuk M Noor Azman bin Taib, dan dihadiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pengurusan tertinggi jabatan, pegawai kanan JBPM serta ahli keluarga yang turut memeriahkan majlis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.