10 November 2022, 21:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Pelajar Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem bergambar bersama-sama pensyarah dan penceramah bagi “Bengkel Penyuntingan dan Tatabahasa dalam Penulisan Kreatif”.

Kuala Lumpur – Sebagai usaha melahirkan mahasiswa yang berdaya saing dan berketerampilan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan melalui Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem telah menganjurkan “Bengkel Penyuntingan dan Tatabahasa dalam Penulisan Kreatif” yang menampilkan dua orang editor dari Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani dan Editor Tunas Cipta iaitu Puan Siti Noorisa Abdul Khlil.

Bengkel yang diadakan pada pagi ini disertai mahasiswa tahun dua dan tiga dari Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem yang sedang menyiapkan projek tahun akhir mereka. Oleh itu, bengkel tersebut amat bertepatan dengan usaha pihak fakulti untuk melahirkan penulis yang mahir dalam menyunting dengan mempraktikkan tatabahasa yang betul.

Pengarah DBP Wilayah Utara, Puan Nurul Julia Alani.

Menurut Puan Julia, untuk menjadi seseorang penulis yang baik, penulis tersebut harus menguasai kosa kata yang terbaik, terutama bagi penulis puisi kerana puisi harus mempunyai unsur perlambangan. Apabila penulis tersebut menggunakan kosa kata yang menarik, maka penulis tersebut berjaya menghasilkan karya yang tidak klise seperti karya yang telah dihasilkan oleh rata-rata penulis lain.

Selain itu, beliau turut berkongsi teknik penghasilan cerpen yang baik, terutama ketika menggunakan kata ganti nama diri dalam dialog. Dalam dialog, penulis dinasihatkan agar menggunakan kata ganti nama diri yang betul dengan situasi tersebut. Sebagai contoh, apabila menceritakan situasi zaman dahulu, penggunaan kata ganti nama diri “patik” dan “hamba” lebih tepat digunakan jika dibandingkan dengan kata ganti diri “saya” dan “aku”.

Puan Siti Noorisa sedang menerangkan teknik penghasilan penulisan yang baik.

Dalam bengkel yang sama, Puan Siti Noorisa turut menyampaikan taklimat berkaitan dengan teknik penghasilan karya kreatif yang baik. Beliau berkata, “Penulis harus baca dan semak semula manuskrip tersebut sebelum dihantar kepada editor. Hal ini bagi memastikan  manuskrip tersebut tidak mempunyai kesalahan yang besar.”

Tambahnya, penulis harus menjadi editor pada karya masing-masing. Penulis juga boleh kongsikan karya yang telah dihasilkan dengan orang lain agar dapat mengenal pasti sekiranya ada apa-apa kekurangan yang harus dibetulkan. Hal ini sekali gus dapat melahirkan penulis yang positif dan berlapang dada untuk menerima komen sama ada dari sudut positif atau sebaliknya.

“Seseorang penulis yang baik akan menghasilkan karya yang memberikan manfaat kepada pembaca,” ujar Puan Siti Noorisa ketika menyampaikan taklimat berkaitan dengan Teknik Penyuntingan Karya Kreatif.

Setiap peserta dikehendaki untuk menyediakan manuskrip dan diulas oleh para pembimbing dari aspek tatabahasa dan gaya penulisan kreatif.           

Selain taklimat, bengkel tersebut turut menyediakan slot bimbingan yang membolehkan para pembimbing memberikan ulasan berkaitan dengan karya yang telah dihasilkan oleh pelajar. Turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Timbalan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem, Puan Susilawati Kamaruzzaman, Ketua Program Penulisan Kreatif, Puan Roziah Adama dan pensyarah ASWARA.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.