28 Oktober 2022, 10:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – “Keluarga Malaysia Teguh Bersama” yang diangkat sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini telah membuktikan bahawa konsep Keluarga Malaysia yang diinspirasikan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob bersifat inklusif iaitu merentasi sempadan agama, bangsa dan kaum serta mengajak rakyat di negara ini bersama-sama sebagai sebuah keluarga yang utuh. Nilai perpaduan dan kebersamaan ini amat penting diterapkan dalam diri masyarakat khususnya kepada kanak-kanak dan remaja. Hal ini disebabkan generasi muda inilah yang bakal menerajui negara pada suatu masa nanti.

Maka itu, sebagai tanda sokongan terhadap aspirasi tersebut, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja (BPKSR) telah menganjurkan pertandingan Warkah Terbuka Buat Sahabat Malaysiaku. Pertandingan ini terbahagi kepada dua kategori usia, iaitu 13 hingga 17 tahun dan 18 hingga 24 tahun. Pertandingan yang diadakan secara dalam talian ini telah bermula dari 15 Ogos hingga 15 September 2022.

Selain ingin menerapkan nilai kebersamaan, pertandingan tersebut turut menyokong Teras Strategik: Bahasa Melayu Bahasa Negara dalam Tema Strategik 1: Pembudayaan Bahasa Melayu melalui Strategi Utama 1: Penghayatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dengan inisiatif 4: Melaksanakan kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu dengan pelibatan pelbagai khalayak dan inisiatif 5: Menambah bilangan khalayak dalam kegiatan kebahasaan dan persuratan Melayu.

Puan Hasni Jamali, Penolong Perancang Bahasa, BPKSR, DBP mengatakan bahawa hampir 50 penyertaan telah diterima dan hanya enam pememang sahaja berjaya untuk setiap kategori. Pertandingan tersebut memerlukan peserta untuk menghasilkan surat tidak rasmi yang tidak melebihi 400 patah perkataan. Para peserta akan memaparkan warkah dalam Facebook masing-masing dengan tetapan umum dan meletakkan tanda pagar #WarkahTerbukaBuatSahabatMalaysiaku, #BahasaJiwaBangsa, #BulanKebangsaan2022 dan #DBPMalaysia.

Bagi Mohamad Amirul Husni yang merupakan pemenang tempat pertama untuk kategori 18 – 24 tahun, pertandingan tersebut merupakan platform untuk beliau mencabar diri dalam bidang penulisan, sekali gus dapat mengasah bakat dan minda untuk menghasilkan karya yang menarik untuk dibaca. Bakal guru Bahasa Melayu tersebut turut berkongsikan kepada sidang editor e-Tunas Cipta bahawa pertandingan yang dianjurkan oleh pihak DBP dapat membantu beliau untuk meningkatkan pelbagai kemahiran bahasa dan berharap bahawa pertandingan kebahasaan akan terus mekar demi meningkatkan martabat bahasa Melayu.

Selain itu, Mohamad Amirul Fitri, pemenang tempat pertama untuk kategori 13 – 17 tahun itu berasa amat beryukur kerana berjaya memenangi pertandingan tersebut. Beliau yang baru berusia 15 tahun itu turut merakamkan penghargaan kepada keluarganya yang banyak memberikan sokongan dan tunjuk ajar sepanjang tempoh beliau menyiapkan warkah tersebut.

Keputusan pertandingan Warkah Terbuka Buat Sahabat Malaysiaku telah diumumkan melalui Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Oktober 2022 (Khamis).

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.