Oleh Rosnani Md Zain
27 Oktober 2022, 10:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Forum bersempena dengan Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja telah diadakan di Dewan Za’ba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia pada 25 Oktober 2022. Forum ini  berjudul “Cerita Sebelum Tidur: Tradisi Lapuk?” yang menampilkan Profesor Madya Dr. Arba’ie Sujud, Dr. Faezah Muhayat dan Dr. Farra Humairah Mohd sebagai ahli panel serta Ishak Hamzah selaku moderator.

Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja yang berlangsung selama dua hari, iaitu pada 25 dan 26 Oktober 2022 itu bertemakan ‘’Menjunjung Tradisi, Mendepani Inovasi’’. Seminar tersebut merupakan acara tahunan anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Jaringan Komuniti Sastera Kanak-Kanak dan Remaja.

Dua kertas kerja telah dibentangkan oleh pakar bidang sastera kanak-kanak dan remaja, iaitu Dr. Halis Azhan Mohd Hanapiah dan Dr. Kaithiri Arumugam. Selain itu, sebanyak 15 kertas kerja turut dibentangkan oleh pelajar yang mengikuti kursus BBK3214, Sastera Kanak-kanak dan Remaja. Seminar tersebut turut dihadiri oleh pelajar dari Universiti Brunei Darussalam, Universiti Mulawarman Samarinda, Universiti Walailak Thailand, Universiti Instraprasta PGRI, Universiti Jeonbuk Korea dan Universiti Negeri Malang.

Selain forum, seminar tersebut turut dimeriahkan dengan  pelancaran buku yang berjudul Refleksi Sastera kanak-kanak di Malaysia terbitan DBP. Buku ini menghimpunkan esei kajian sastera kanak-kanak dan remaja hasil daripada seminar sebelum ini. Majlis diserikan dengan persembahan bercerita “Alang Pipi Merah” yang disampaikan oleh Filzah Ibrahim.

Turut hadir dalam seminar tersebut ialah Dekan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, YBhg. Profesor Madya Dr. Hazlina Abdul Halim; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, YBrs. Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed dan Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja, DBP, Puan Ariza Che Ismail.

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.