Diterbitkan pada 24 Ogos 2021, 22:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ainun Nasibah Johar, seorang guru di Sekolah Kebangsaan Ulu Bole, Sipitang, dinobatkan sebagai johan Cabaran Belia Cipta Pantun, sekali gus membawa pulang hadiah berjumlah RM1000. Naib johan dimenangi oleh Mohammad Hilmi Ismail, seorang guru dari Kota Belud yang menerima hadiah berjumlah RM500. Manakala  tempat ketiga yang menawarkan hadiah berjumlah RM300 pula disandang oleh Nurirfiney E. Hairoland Fredo, yang juga merupakan seorang guru sekolah rendah di Keningau.

Ketika dihubungi, Ainun menyatakan rasa syukur atas kejayaan yang diperoleh. Di sebalik pantun yang kreatif dan konsep video yang menarik, tanpa sangka beliau sebenarnya terpaksa menghasilkan video tersebut dalam situasi kuarantin sambil menjaga ahli keluarga yang tidak sihat, ditambah pula dengan talian Internet yang kurang lancar. Dek minat terhadap pertandingan ini yang disifatkan sebagai unik dan tersendiri, Ainun berjaya mengenepikan segala dugaan yang dihadapi dan ternyata rezeki berpihak kepadanya.

Tiga lagi pemenang sagu hati ialah Dayana Chacho, seorang peguam syarie, Norazilah Amir Basan, seorang penjawat awam kelahiran Tawau yang kini menetap di Shah Alam, dan Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim, seorang pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu. Masing-masing menerima hadiah berjumlah RM100 setiap seorang.

Pertandingan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah yang julung kalinya diadakan ini menerima sambutan yang menggalakkan dalam kalangan belia di Sabah. Setiap penyertaan dinilai dari aspek keaslian, ketepatan tema, kreativiti dan penyampaian pantun yang berkesan.

Tahniah kepada semua pemenang Cabaran Belia Cipta Pantun.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi