Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDeklamasi puisi bermaksud membaca atau menyampaikan puisi moden (sajak) untuk diperdengarkan kepada penonton. Selain disiarkan di akhbar dan diterbitkan dalam buku, puisi Melayu juga berkembang melalui deklamasi.
Deklamasi merupakan kesinambungan daripada sastera lisan apabila puisi tradisional seperti pantun, syair, nazam dicipta untuk dipersembahkan sebelum adanya buku dan percetakan.

Dalam tradisi sastera lisan, penglipur lara menguasai teknik seni persembahan, lakonan dan gerak badan, seni bunyi, ritma, lagu dan alat muzik untuk menyampaikan cerita.
Dalam konteks pertandingan, deklamasi puisi menjadi lebih sistematik dan konsisten sejak Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan pada tahun 1987.
Setelah belasan tahun diadakan, maka dirasakan perlu ada variasi deklamasi yang lebih bebas dan memberikan ruang untuk berkreativiti. Dari sinilah bermulanya Persembahan Puisi Artistik yang diasaskan oleh Dato’ Rahman Shaari yang mengajar subjek “Seni Deklamasi” di Universiti Malaya.
Bagi menambah ilmu dan kefahaman khalayak tentang seni deklamasi puisi dan persembahan puisi artistik, Syahida Hassan Enteprise dengan kerjasama Kuali Hitam telah menganjurkan Bengkel Seni Deklamasi dan Persembahan Puisi Artistik secara dalam talian pada 9 Ogos 2021.

Bengkel ini menampilkan Sasterawan Negara Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan Dato’ Rahman Shaari sebagai pembimbing serta Raihani Mohd. Saaid sebagai moderator.
Seramai 50 orang yang terdiri daripada johan sayembara deklamasi, penggiat puisi, penulis terkenal, pendidik, pengacara menyertai bengkel seni deklamasi ini. Selain itu, bengkel ini menjadi lebih istimewa apabila turut disertai oleh mantan Naib Canselor Universiti Malaya, iaitu Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob.
Sepanjang hampir tiga jam, bengkel yang diadakan ini telah memperkenalkan kepada peserta apakah yang dikatakan deklamasi yang berjaya, masalah yang dihadapi oleh deklamator seperti sebutan, hafalan dan pemaknaan.
Penceramah yang juga berpengalaman luas dalam bidang penjurian turut berkongsi dari aspek penting yang boleh menambah dan juga yang boleh mengurangkan markah peserta dalam pertandingan deklamasi. Misalnya Dato Zurinah berkongsi tentang penjedaan yang kurang sesuai serta insiden deklamator terlupa perkataan sehingga menjejaskan makna seluruh puisi.
Dato’ Rahman pula memperkenalkan latar belakang persembahan puisi artistik yang telah bermula sejak tahun (1993 dan apakah aspek yang boleh menambah nilai artistik pada persembahan, contohnya pilihan puisi, gaya deklamator, pakaian, prop, pergerakan dan nyanyian. Dato’ Rahman turut mendeklamasikan sejumlah puisi untuk menunjukkan bagaimana kepelbagaian nada dan tema puisi boleh diangkat ke pentas puisi artistik.