Diterbitkan pada 3 Ogos 2021, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Belia di Sabah dialu-alukan untuk menyertai Cabaran Belia Cipta Pantun anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Majlis Belia Sabah (MBS).

Pantun dikenali sebagai puisi tradisional Melayu yang dicipta untuk menyampaikan fikiran atau perasaan. Sebagai satu bentuk pengucapan, pantun boleh digunakan untuk memberikan nasihat, berjenaka, menyindir atau bergurau senda. Pantun juga telah diiktiraf sebagai warisan kebudayaan tidak ketara oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada Disember 2020.

Seiring dengan pengiktirafan tersebut, Cabaran Belia Cipta Pantun diperkenalkan untuk mengasah bakat dan kreativiti golongan belia dalam penciptaan pantun. Selain itu, pertandingan ini bermatlamat untuk menggalakkan pembudayaan pantun, sejajar dengan kecenderungan masyarakat terhadap perkembangan dunia digital. Pertandingan ini juga diharapkan dapat memperkukuh kesedaran generasi muda di Sabah, khususnya agar lebih menghayati pantun sebagai seni warisan yang menghiburkan.

Penyertaan terbuka kepada belia di Sabah yang berumur antara 15 hingga 40 tahun. Peserta dikehendaki mencipta pantun empat kerat dalam dua rangkap sahaja. Peserta perlu menonton klip video pantun yang dijual oleh Presiden MBS terlebih dahulu agar peserta memahami tema pantun yang ingin dibeli. Rakaman aksi peserta sedang melafazkan pantun yang dicipta seterusnya perlu dimuat naik menerusi laman media sosial Facebook, Instagram atau TikTok masing-masing yang disertai dengan tanda pagar #CabaranBeliaCiptaPantun dan #DBPSabahMBS.

Tentunya hadiah yang lumayan menanti para pemenang, iaitu wang tunai sebanyak RM1000 bagi johan, RM500 bagi naib johan, RM300 bagi tempat ketiga manakala tiga orang pemenang sagu hati pula akan menerima RM100. Ayuh belia Sabah, serlahkan bakat anda dan hantarkan penyertaan sebelum tarikh tutup pada 15 Ogos 2021. Tonton video promosi di bawah dan klik pautan https://tinyurl.com/beliaciptapantun untuk mendapatkan maklumat lanjut.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi