Oleh Miss Jericle
13 Julai 2021, 09:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dr. Suraiya Chapakiya melalui siaran resensi buku Di Bawah Langit Rampai Sastera Melayu Baru Patani melalui laman Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ada  menyebut, “Buku ini wajar dimiliki oleh semua pembaca kerana buku ini menghimpunkan karya daripada tiga generasi kumpulan penulis iaitu dalam kalangan pengarang yang lahir pada tahun 1950-an, tahun 1951 hingga 1970-an dan tahun 1980-an.”

Dr. Suraiya Chapakiya.

Beliau yang juga merupakan pensyarah di Universiti Fatoni, Thailand bergiat aktif dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Melayu di Selatan Thailand turut menambah bahawa naskah ini bukan hanya memuatkan antologi cerpen dan puisi, namun pembaca boleh menikmati pantun, nazam, balada serta esei sastera eksklusif berkenaan majalah sastera terkenal di Patani, iaitu majalah Azan.

Majalah Azan.

Majalah Azan yang muncul pada awal tahun 1970-an juga merupakan antara usaha untuk mempertahankan sastera Melayu di Patani. Ujar Ahmad Latif yang merupakan wartawan yang berasal dari Patani, “Majalah Azan merupakan medan perjuangan yang ditunjangi semangat untuk memasyarakatkan bahasa Melayu, di samping niat menjalankan kewajipan dakwah.” Bacaan penuh perkongsian beliau boleh didapati di laman Facebook Media Informasi News.

Nik Abdul Rakib Nik Hassan, melalui jurnalnya yang bertajuk “Memperkasakan Sastera Melayu di Patani” telah mencadangkan beberapa usaha yang boleh diambil oleh penggerak bahasa dan sastera Melayu Patani dengan kerjasama Malaysia, Indonesia dan Brunei. Antaranya ialah dengan mewujudkan Rumah Melayu-Indonesia sebagai pemain utama dalam penyebaran bahasa Melayu di Patani. Beliau mengambil contoh British Council yang bertanggungjawab menguatkan penguasaan bahasa Inggeris di Patani.

Buku ini merupakan satu daripada usaha untuk mengangkat sastera Melayu di Patani yang harus disokong oleh masyarakat Melayu di Malaysia, Indonesia dan Brunei. Khazanah sastera yang diselenggara oleh Nawawee Mohammad ini boleh dibeli melalui portal DBP Niaga.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.