Oleh Miss Jericle
12 Julai 2021, 07:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sejauh manakah kemampuan filem membantu kelangsungan sastera? Apakah usaha ini mendapat perhatian daripada para penggiat filem dan sastera di Malaysia? Persoalan inilah yang membuka slot #DiskusiSastera anjuran Purana School yang dibicarakan oleh Muziru Idham melalui platform Clubhouse pada 9 Julai 2021, pukul 9.30 malam.

Tidak ada New York hari ini

Tidak ada New York kelmarin

Aku sendiri dan tidak berada di sini

Semua orang adalah orang lain

Bahasa Ibu adalah kamar tidurku

Kupeluk tubuh sendiri

Dan Cinta, Kau tak ingin aku

mematikan mata lampu

Jendela terbuka

dan masa lampau memasukiku sebagai angin

Meriang. Meriang. Aku meriang.

Kau yang panas di kening, kau yang dingin dikenang.

Puisi “Tidak Ada New York Hari Ini”, karya M Aan Mansyur telah berjaya mengetuk lalu menduduki jiwa peminat sastera setelah puisi itu diangkat dalam bentuk filem.

Rangga, lakonan Nicolas Saputra tidak sekadar membacakan puisi ini dalam filem Ada Apa Dengan Cinta 2 (AADC 2), namun gabung jalin ini sebenarnya telah merapatkan jurang antara masyarakat dengan sastera. Turut ditampilkan dalam filem ini, puisi “Ketika Ada yang Bertanya Tentang Cinta”, “Pukul 4 Pagi”, “Batas” dan “Akhirnya Kau Hilang”. 

 

Ujar Muziru, “Sastera dan filem harus berganding. Hal itu disebabkan oleh sastera akan menjadi kuat melalui filem, dan filem akan menjadi lebih indah dan bermakna dengan kehadiran sastera.”

Filem boleh menyegarkan dan menghidupkan kembali sastera. Natijahnya sastera akan mula dibincangkan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan dan tidak hanya terperuk di rak buku semata-mata.

Di barat misalnya, filem Dead Poet Society mengisahkan seorang guru bahasa Inggeris yang berjaya mengilhamkan pelajarnya melalui pengajaran puisi. Filem ini telah memenangi banyak anugerah, antaranya “BAFTA Award for Best Film” dan “César Award for Best Foreign Film”.

Muziru turut memetik judul sebuah filem Malaysia yang diterbitkan pada tahun 1990 bertajuk Mat Som. Filem yang diadaptasi daripada sebuah novel grafik, karya Lat ini telah mengundang para penyair tanah air seperti Usman Awang, Latiff Mohidin, T. Alias Taib dan Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) untuk berlakon sama.

Ujar beliau, “Usaha seperti ini wajar diteruskan”. Pendengar yang lain turut berkongsi maklumat mengenai drama Sepenggal Puisi dan filem Sepi yang mengangkat puisi dalamnya.

Faisal Mat Zawi, penyair muda prolifik dan juga seorang doktor turut berkongsi pandangan mengenai puisi dalam AADC 2. “Sajak, puisi boleh ditafsirkan mengikut kefahaman mereka yang membacanya, justeru tidak ada pentafsiran yang salah. Perkara ini membuka ruang kepada peminat untuk berdiskusi bagi menghangatkan arena sastera,” ujar beliau.

Aplikasi Clubhouse merupakan sebuah platform perbincangan secara audio dalam talian yang semakin mendapat tempat dalam kalangan penggiat sastera di Malaysia.

Pada peringkat awal pelancarannya, aplikasi ini hanya boleh dimuat turun daripada Apple Store, tetapi kini tersedia untuk pengguna android juga. Peminat sastera tempatan boleh mengikuti laman Clubhouse Purana School untuk menyertai pelbagai diskusi berkenaan buku, filem dan puisi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.