Oleh Miss Jericle
10 Julai 2021, 12:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

“Khazanah Seni Sastera: Hikayat Bayan Budiman” merupakan program kerjasama antara Radio Bernama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Program ini disiarkan secara mingguan pada setiap hari Jumaat, pukul 9.30 pagi.

Poster program.

Program pada minggu ini membicarakan Cerita Raja Adar Shah dalam bab 22, Hikayat Bayan Budiman. Ceritanya mengisahkan seorang raja yang terkenal dengan keluasan daerah pemerintahannya. Namun begitu, Raja Alam Shah ini amatlah zalim kepada bala tentera dan rakyatnya.

Ada seorang raja pada sebuah negeri, terlalu besar kerajaan baginda itu; akan tetapi terlalu sangat aniaya kepada segala bala tenteranya dalam daerah negeri itu. Adapun aniayanya itu bukanlah merampas dan bukannya membunuh, melainkan barang siapa menumbuk padi, jikalau delapan gantang padinya, delapan gantang juga berasnya dan delapan gantang juga sekamnya, tiada boleh kurang dikehendaki rajanya. Maka disuruhnya canang berkeliling negeri hingga sampai pada luar negeri. Maka kesakitanlah segala orang itu, sangat dukacitanya dan sangat ketakutan sekalian mereka akan hukum raja yang demikian itu.

Kekejaman yang berlaku pada zaman Raja Shah Alam tidak berakhir dengan kemangkatan baginda. Setelah takhta kerajaan diduduki oleh puteranya, Raja Adar Shah, namun rakyat masih menyebut-nyebut mengenai kezaliman baginda.

Raja Adar Shah tidak berpuas hati lalu bertindak dengan lebih kejam terhadap rakyatnya. Perkara ini menatijahkan kekalahan baginda dalam peperangan sehingga terpaksa melarikan diri ke hutan. Akhirnya, anak dan isteri baginda menjadi tawanan.

Kongsi Dr. Madiawati Mamat@Mustaffa, Ketua Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu UM, “Sastera tidak sekadar berfungsi mengungkapkan kata-kata indah dan berestetika, tetapi mempunyai peranan dalam mendidik masyarakat melalui pengajaran yang terkandung dalam karya.”

Ujarnya lagi apabila memetik beberapa pengajaran dalam hikayat tersebut, “Pemerintah mestilah bersikap adil dan mempunyai rasa belas ihsan. Ini kerana, keharmonian sesebuah negara bergantung kepada ketelusan pemerintah, kemampuan berfikir mereka secara rasional dalam membuat keputusan yang perlu mempertimbangkan suara rakyat.”

Program yang dihoskan oleh Raifa Zulkifli ini telah disiarkan melalui Radio Bernama dan rakamannya boleh ditonton melalui Facebook Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Pendengar juga berpeluang memenangi hadiah menarik daripada DBP melalui slot teka peribahasa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.